Friday, May 28, 2010

Silat lincah Melayu lawan selambam India

Melayu hanya pandai silat bunga, untuk persembahan waktu keramaian, semasa ketibaan pengantin lelaki ke rumah pengantin perempuan. Tidak boleh memukul, malah hanya kuat di kampung. Selambam, KungFu seni mempertahankan diri kaum India dan Cina dibawa ke Bumi Malaysia.

Barangkali itulah perumpamaan yang dapat diberi kepada orang melayu...UMNO dan bumiputra. Apabila anak Samy Vellu menuduh UMNO jadi pembunuh politik pemimpin India, hanya Tan Sri Muhyiddin buka mulut, yang lain terpaku. Begitu juga apabila T Mohan mengugut akan menilai kembali kedudukan MIC dalam BN.

Dalam PRK di Hulu Selangor, yang memberi kemenangan kepada calon MIC adalah melayu, Cina dan India mungkin kurang daripada separuh jumlah undi melayu. Ketika saya berada di selatan tanah air, ramai orang melayu mengatakan melayu di HS 'bodoh', begitulah kentalnya perjuangan melayu Johor, dimana disitu terlahirnya UMNO. Melayu harus mengutamakan melayu dalam apa jua kepentingan. Walau dimana jua melayu, mereka akan duduk semeja, berdiri dalam SAF yang sama, menghadap kiblat yang sama, mengapa bila dihina diam?
Apakah itu cara UMNO sekarang?

Penghinaan ini bukan sekali, bukan dua kali tetapi sudah banyak kali. Vall Paari sudah mohon maaf, tetapi kata yang dikeluarkan bukan di kedai kopi, bak kata pepatah terlajak perahu boleh diundur....

Friday, May 21, 2010

HIDUP SAYA DI KOTA BESAR

Selamat berjumpa kembali. Saya baru kembali dari India kerana terlibat dengan aktiviti kemasyarakatan. Ini adalah pertama kali saya melihat negara india secara dekat dan menyelami masalah rakyatnya dari sudut pandang sebagai pelancong. India sebuah negara yang rakyatnya miskin, tetapi negaranya kaya. Disebabkan oleh masalah jumlah rakyatnya maka agihan kekayaan tidak teragih sama rata.

Jika berbanding kehidupan saya di KL khususnya di kawasan Seri Kembangan , tuntutan hidup tidaklah seteruk tempat saya bersama rakan di pinggir Old Delhi. Selama ini kita hanya biasa dengan New Delhi.

Keputusan untuk ke India adalah bagi menemani rakan yang sama-sama berjuang dalam satu aliran perkumpulan keagamaan. Rakan saya memberi tahu jangan sesekali kita memberi sedekah wang kepada ramai peminta sedekah kerana kita akan dikerumini oleh peminta sedekah yang bilangannya beribu orang. Atas nasihat itu saya akur bagi mengelakkan oerkara tidak baik berlaku.

Berbalik ke KL jumlah peminta sedekah ada..tapi tidak seramai di Old Delhi....seakat berkongi pengalaman.....sebagai catatan hidup.

Monday, April 12, 2010

PEMBUANGAN BAYI SEMAKIN BERLELUASA

Beberapa bulan lalu saya pernah menulis dalam blog ini mengenai isu yang sama. Beberapa minggu yang lalu, perkara ini nampaknya semakin menjadi-jadi seperti yang dilaporkan dalam akhbar-akhbar tempatan termasuk media eletronik.

Apa sudah jadi dengan masyarakat Malaysia, khususnya Melayu yang beragama islam? Saya percaya kebanyakkan pembuangan bayi dilakukan oleh kalangan remaja Melayu, yang hanya ingin menikmatyi keseronokan sementara, tetapi apabila terdesak sanggup melakukanjenayah sehingga membunuh.

Semasa saya mengikuti pengajian undang-undang dalam jurusan Jurisprudence, di UM suatu maa dulu, pembuhuhan janin dengan cara mengugurkan tanpa alasan munasabah juga merupakan jenayah, kata pensyarah saya.

Ini lebih berat membuang bayi, yang telah mempunyai cukup sifat, bernyawa dan seharusnya diberi peluang untuk menikmati hidup. Sesunggguhnya mungkin ini adalah natijah kesan daripada pentadbiran kerajaan yang kurang menitik beratkan akhlak dan didikan agama ke dalam jiwa setiap rakyat.

Jika dilihat daripada perlakuan yang sumbang, memang ramai para remaja Melayu khususnya yang terlibat. Anda boleh muat turun semua gambar dan jenis perlakuan ini dalam you tube. Jumlahnya beribu. Malangnya semuaMelayu.

Wednesday, April 7, 2010

PERSATUAN KEDAYAN TERUS TERTINGGAL

Wakil rakyat Sipitang telah menyerahkan bantuan berupa cek kepada beberapa buah NGO di daerah Sipitang. Malangnya Persatuan Kedayan Sabah yang sememangnya lahir daripada penduduk Kedayan di Sipitang tidak termasuk dalam senarai penerima.

Apa sebenarnya berlaku kepada persatuan berkenaan sehingga wakil rakyat tidak kenal dengan Persatuan Kedayan Sabah ini.

Atas perkara ini lah saya kira sudah sampai masa dan ketikanya ADUN dan Ahli Parlimen diberikan kepada Kedayan yang berjiwa Kedayan dan berdarah Kedayan. Kepada Kedayan anda juga diminta sokong Persatuan Kedayan supaya apa jua tuntutan Kedayan dapat didengat dengan jelas!

TUNTUTAN TUGAS MEMBATASKAN SAYA UNTUK MENULIS

Meskipun sejak akhir-akhir ini saya amat kurang menulis dalam blog MINDA KEDAYAN, sesekali saya melihat bilangan pelawat tetap bertambah menunjukkan ada juga kalangan yang berminat dan memberi sokongan kepada blog ini.

Saya agak kesuntukan masa sejak beberapa minggu lalu disebabkan oleh tuntutan tugas yang memerlukan saya bergerak sentiasa. Namun begitu bukan bererti saya tidak prihatin terhadap permasalahan masyarakat Kedayan khususnya dan Sipitang amnya.

Dalam beberapa hari lalu terpampang beberapa 'Non Govermental Organization' yang selalu disebut NGO, didaerah Sipitang menerima bantuan kewangan daripada kerajaan yang disampaikan oleh wakil rakyat Sipitang. Mungkin jumlahnya tidaklah sebesar mana tetapi memang diperlukan oleh persatuan atau NGO ini untuk bergerak.

Dalam mengungkit bantuan sedemikian, mengapa Persatuan Kedayan Sabah tidak tersenarai dalam senarai NGO yang menerimanya? Adakah apa-apa niat terselindung sehingga persatuan ini terus diketepikan? Tetapi mungkin jika persatuan Jawa ada di Sipitang mungkin yang pertama akan menerima bantuan sedemikian!

Kepada Kedayan cuba fikir-fikirkan mengapa perkara ini berlaku?

Thursday, March 11, 2010

KEPUTUSAN SPM 2009 SUDAH DIUMUM

Keputusan SPM telah diumum oleh pihak Kementerian Pelajaran Malaysia melalui kenyataan dan analisis oleh Ketua Pengarah Jabatan Pelajaran. Ramai yang berjaya mendapat keputusan cemerlang terutama sekali di sekolah-sekolah yang terbilang seperti tahun-tahun sebelumnya.

Saya hanya mau komen dua perkara iaitu pertama sekolah yang berpenghuni ramai anak Kedayan dan kedua sekolah yang diketuai oleh pengetua Kedayan.

Jika sekolah yang ramai dihuni oleh Kedayan mungkin hanya empat buah sekolah iaitu SMK Weston, SMK Pg Omar 1, dan 11 serta SMK Padang Berampah. Bagi sekolah-sekolah ini bagaimana pencapaian anak Kedayan? adakah yang mendapat 10 A atau atas daripada 8 A?

Jika tidak mengapa anak Kedayan boleh mendapat 10 D sahaja? Apa masalah yang sebenar dihadapi oleh anak-anak masyarakat ini? Adakah mereka tidak cukup makanan berkhasiat, tidak ada ruang belajar, tidak ada cukup kelengkapan belajar, miskin, dhaif atau apa lagi kekurangan mereka sehingga mereka tidak dapat cemerlang.

Kedua sekolah yang diketuai oleh pengetua yang berbangsaKedayan. Bagaimana agaknya pencapaian anak-anak didik dan guru dibawah seliaan mereka? Berjaya kah pengetua Kedayan ini mengetuai sebuah sekolah kearah mencapai kejayaan cemerlang? Bagaimana kepimpinan mereka? Berkaliber kah mereka?

Ini menjadi kemusykilan saya.

Friday, March 5, 2010

BANYAK ISU SEMASA YANG MENARIK UNTUK DIBINCANG

Saya agak kurang produktif sejak beberapa minggu kebelakangan ini disebabkan oleh tuntutan tugas yang perlu diselesaikan segera. Walaupun agak kurang produktif, saya banyak juga mengikuti isu-isu semasa yang menjadi bahan berita beberapa akhbar tempatan dan akhbar nasional. Namun saya hanya akan membincangkan dengan ringkas dua isu yang menarik perhatian saya.

Isu pertama adalah berkaitan pembunuhan doa orang kanak-kanak yang berusia antara 2 - 6 tahun yang berlaku di Semenanjung Malaysia oleh manusia yang mempunyai perwatakan haiwan. Sebelum ini telah banyak juga isu sama berlaku dalam masyarakat. Manusia hari ini semakin menjadi-jadi kehaiwanannya. Manusia jenis ini sebenarnaya adalah manusia yang berjiwa haiwan dan bernafsukan syaitan. Sebab itu lah menjadikan perkara sedemikian berlaku. Zaman jahiliah kembali ke persada moden acuan masyarakat yang dipacu oleh pembangunan tanpa berpaksikan ideologis islamik!

Isu kedua adalah pembatalan CASH di Sabah. Jika sebelum ini CASH begitu gah yang sering menjadi kudaan politik oleh presidennya, kini CASH telah melalui saat-saat getir untuk kembali memperjuangkan hak-hak kepenggunaan di Sabah. Pembatalan oleh ROS adalah wajar sekiranya persatuan itu tidak mematuhi kehendak berpersatuan. Sebelum ini banyak krisis yang melibatkan persatuan berkenaan, kini apa yang berlaku sebelum ini menggambarkan siapa sebenarnya peneraju dan apa belang peneraju berkenaan dalam CASH.

Monday, February 22, 2010

BUANG BAYI MENJADI-JADI

Beberapa hari lalu banyak laporan akhbar yang melibatkan masalah sosial anak muda di negara ini, khususnya pembuangan bayi yang baru dilahirkan. Dalam tulisan-tulisan yang dapat diikuti melalui akhbar tempatan berbahasa Malaysia seperti Utusan Malaysia dan Berita Harian kenyataan menteri wanita juga dapat dibaca.

Apa sudahjadi dengan pembangunan negara Malaysia yang telah dirancang oleh pakar-pakar dalam kerajaan sehingga boleh berlaku perkara yang dahsyat sedemikian. Dimana silapnya dengan Wawasan 2020 Dr MAhathir yang menyatakan "kemajuan berlandaskan kepada acuan Malaysia"? Apa sudah jadi dengan kurikulum disekolah khususnya mata pelajaran agama Islam dan mata pelajaran sivik yang diajar dari tingkatan satu hingga ke tingkatan lima?

Apa sudah jadi kepada ikatan kekeluargaan dan institusi keluarga yang berpaksi kepada 'asian values' kalau di negara ini 'nilai-nilai keMelayuan?

Suatu waktu dahulu semasa saya meneruskan pengajian saya di peringkat sarjana, salah seorang pensyarah saya yang berasal dari Belanda, turut mengkaji masalah ini dengan beberapa orang penuntut lain bagi mengenalpasti punca berlakunya masalah. Salah satu daripada masalah yang dikenalpasti adalah runtuhnya budaya kekeluargaan dalammasyarakat dan terhakisnya perasaan kasih sayang antara isi keluarga sehingga menyebabkan mencari keseronokan diluar. Telah juga dikenalpasti bahawa penyelesaian bahawa ditubuhkan bank bayi bagi memberi perlindungan bayi yang dilahirkan daripada hubungan terlarang sedemikian. Walau bagaimanapun ramai yang membantah keraja khuatir akan berlaku pembuangan bayi dan menjadikan lebih ramai muda-mudi galak melakukan perkara sedemikian.

Ini lah barangkali natijahnya perencanaan pembangunan yang dihasilkan daripada pemimpin yang bukan berpaksi kepada nilai agama..!

Tuesday, February 9, 2010

TERLALU BANYAK CAMPURTANGAN KERAJAAN DALAM AKTIVITI EKONOMI

Sejak akhir-akhir ini banyak isu yang memaksa kerajaan mengambil tindakan campurtangan dalam urusan berkaitan barangan keperluan rakyat seperti gula dan bekalan beras selain bahan bakar khususnya petrol. ketiga-tiga barangan berkenaan berkait rapat dengan keperluan asas rakyat.

Dalam bekalan beras dan gula, pihak pemborong dan agensi dalam kerajaan bermain tarik tali dalam mengalih perhatian rakyat. ini kerana kedua-dua belah pihak mempunyai kepentingan dalam urusan masing-masing. Pihak pembekal dan pemborong mempunyai kepentingan ekonomi, manakala pihak kerajaan mempunyai kesan politik yang jelas akan menjejaskan kepentingan politik jika tidak kena gaya dalam mengendalikan isu berkenaan.

Apapun alasan yang diberikan mengapa kerajaan beriya-iya mengurangkan jumlah subsidi kepada rakyat adalah disebabkan oleh kekurangan daripada segi kemampuan kewangan kerajaan dalam memberi subsidi. Akhirnya bekalan dikurangkan di pasaran.

Apa yang berlaku, jika keadaan ini berterusan dimana campurtangan yang melampau, negara menjadi pengamal "sistem komunis" apabila sistem pasaran dikawal dengan ketat tanpa membiarkan mekasisma 'demand and supply' mengambil peranan. Oleh sebab itu kerajaan melancarkan pengurangan gula dalam masyarakat dengan alasan sebab kesihatan.

Dalam keadaan begini, yang menjadi sengsara adalah rakyat golongan majoriti apabila mereka terpaksa membayar lebih keatas makanan asasi mereka seperti beras, gula dan minyak.

Monday, February 1, 2010

BISAYA SUDAH KEDAYAN LAMBAT LAGI

Persatuan etnik Bisaya telah selesai mengadakan mesnyuarat agung dan pemilihan AMT baru, serta mengekalkan beberapa orang lama selain terdapat muka baru. Tidak ketinggalan ADUN N27 Kamarlin Ombi menang tanpa bertanding. Janang Gayuh jelas mahu masyarakat beliau maju selaras dengan kemajuan negara yang semakin pesat. Antara lain inti pati ucapan beliau adalah kejayaan masyarakat Bisaya di masa lampau yang ramai menjadi qari dan qariah. Sehubungan itu, beliau mahu kecemerlangan ini diteruskan dan akan menubuhkan pusat tahfiz al-Quran di daerah Beaufort.

Itu cerita persatuan Bisaya, bagi persatuan Kedayan bagaimana? Bukan sahaja perasatuan ini gagal berfungsi malah urut dipolitikkan dengan penglibatan orang tertentu yang ingin melihat persatuan ini dan penerajunya berkubur. apa akan jadi dengan masyarakat ini, yang tak habis-habis dengan masalah yang tak kunjung selesai. Ayuh Kedayan bangkit, jangan ditinggalkan!

Saturday, January 23, 2010

KUASA DI TANGAN RAKYAT

Kuasa mengubah pemerintah adalah terletak di tangan rakyat "people power'. Walau bagaimanapun bkan mudah untuk mengubah pemimpin dan kepimpinan apatah lagi mengubah pemerintahan atau kerajaan.
Dalam PRU akan datang, tidak akan berlaku perubahan besar sama ada dalam calon-calon yang akan dijangka bertanding mahupun parti yang akan menyertai dalam PRU khususnya di Sabah. BN dan UMNO Sabah begitu kukuh dan selesa untuk menyapu bersih kesemua kerusi dewan undangan negeri ataupun kerusi parlimen.
Sipitang? Saya tidak menjangkan Datuk Sapawi Ahmad akan disingkirkan daripada kerusi P178 dengan mengambil kira kedudukan beliau yang begitu kukuh dalam UMNO Sabah. Sungguhpun beliau telah menjadi ADUN selama tiga penggal dan parlimen satu penggal, tetapi dijangka beliau akan terus duduk di kerusi itu dengan selesa.
Mungkin ada yang mempersoalkan sumbangan beliau sebagai ADUN dan MP. Saya tidak mempersoalkan apa sumbangan beliau sama ada sebagai ADUN mahupun MP. Setelah berkuasa untuk tempoh begitu lama, pasti ada sekelumit sumbangan kalau tidak pun sebesar gunung, itu adalah pasti. Cuma mungkin kalau terlalu lama berkuasa rakyat mahukan perubahan, rakyat mahukan suasana baru dan orang baru berkuasa dan mengemudi Sipitang.
Dalam situasi ini, siapa bakal KB UMNO P178 bakal ADUN dan Bakal MP dan parti mana dapat mencabar UMNO dan BN? Jawabnya mungkin tidak susah meramal, memang tidak ada potensi sama ada individu dan parti yang berupaya mencabar UMNO dan BN di Sabah. Itu adalah kenyataan.
Umumnya kita semua membenci rasuah, termasuk rasuah politik, tetapi dalam realitinya ,kita dan semua pengundi adalah pengamal serta peminta dan pemberi rasuah. Ini telah menjadi amalan yang telah sebati dalam politik serta tidak boleh dibendung dalam politik di Malaysia. Jadi bagaimana kita boleh mengubah calon, apatah lagi parti dan kerajaan. Jadi bagaimana membuang Datuk Sapawi, UMNO dan BN? Itu realiti.
Memang ramai yang tidak bersetuju dengan UMNO dan BN termasuk terhadap Datuk Sapawi hatta Datuk Dr Yusop Yacob sewaktu menjadi MP sebelum PRU 12 lalu. Tetapi dalam keadaan membenci pemimpin, melawan kepimpinan beliau, ramai yang berlandaskan kepada soal peribadi akibat tidak berpuas hati disebabkan oleh sesuatu perkara yang tidak diperolehi atau dipenuhi oleh pemimpin berkenaan. Jika ini alasan kita membenci pemimpin, itu bukan politik sebaliknya adalah 'PERSONAL VANDETTA"
Oleh itu kita perlu berlapang dada dan berfikiran waras! Saya masih tidak nampak siapa calon yang boleh mencabar UMNO/BN dan DSA di P178 Sipitang selagi pengundi adalah peminta rasuah paling DAHSYAT dalam politik!

Wednesday, January 20, 2010

TIGA KAUM AKAN MAJU DI SIPITANG

Sipitang seperti juga daerah lain adalah sebuah daerah yang mempunyai komposisi pelbagai etnik seperti Kedayan, Brunei, Murut, Lundayeh, Lunbawang, Murut Tagal, Kadazan/Dusun, Bisaya dan kaum Cina. Sebagai tambahan etnik berkenaan ditambah lagi dengan tiga etnik pendatang lain iaitu Jawa dan Bugis dari Indonesia dan Suluk/Bajau dari Filipina.
Sejarah kedatangan tiga etnik ini mempunyai sebab tersendiri, dan kini tiga etnik ini telah menjadi sebahagian daripada senario sosio ekonomi dan politik di Sabah. Sebagai contoh, keturunan kaum Jawa telah menguasai politik di Sipitang bersama-sama dengan kaum Bugis dan kaum Suluk/Bajau dari Filipina.
Jangan terkejut jika suatu hari nanti, suku Kedayan dan Brunei akan terpinggir dari senario politik dan ekonomi termasuk pendidikan dan hala tuju dan ketuanan di Sipitang akan mengukuh dikuasai oleh kaum ini.
Secara beransur-ansur mereka mengukuh bermula daripada menapak beberapa belas tahun lalu, kini mereka menguasai ekonomi di pelbagai bidang, termasuk pendidikan dan perkhidmatan awam.
Satu lagi kaum yang sedang menuju dan akan menempa kejayaan dalam pelbagai bidang adalah kaum Lundayeh. Mereka telah bangkit daripada kesusahan masa lampau dan anak-anak mereka kini telah mengorak langkah kedepan dan mencatatkan kejayaan dalam pendidikan dan peperiksaan sejak beberapa tahun lalu.
Bagi keum Kedayan dan Brunei, mereka masih lagi terkial-kial menuju arah dan mata mereka masih lagi ibarat anak kucing yang baru lahir tertutup rapat. Oleh itu bangsa lain telah jauh berlari mereka masih lagi menutup mata, jadi bila mereka akan sama-sama berlari seiring dalam kemajuan?
Para pemimpin Kedayan dalam UMNO adalah kalangan yang tidak ada pendidikan, dan sangat tidak boleh diharap, sering dipergunakan untuk keuntungan orang lain. jadi apa akan jadi kepada bangsa Kedayan khususnya?

Monday, January 18, 2010

POLITIK,SAINS POLITIK DAN FALSAFAH POLITIK

Terima kasih kepada para pengunjung blog ini khususnya keatas komen-komen yang dilontarkan, sama ada komen yang menyokong atau menyanggah tulisan saya, mengenai politik tempatan khususnya politik orang Kedayan di P178 Sipitang. Ada juga yang mengkritik masyarakat Kedayan, pemimpin pilitik di P178 dan tidak kurang juga yang menghentam saya sebagai 'whistle blower' mengenai politik masyarakat Kedayan.
Mungkin saya hanya berpolitik secara tidak langsung, oleh itu saya beranalogi antara pemandu bas dengan penumpang bas. Pemandu bas akan membawa bas dan penumpangnya, tetapi tidak boleh banyak bercakap, kerana jika banyak bercakap nescaya bas akan masuk ke gaung, sebaliknya sebagai penumpang, saya boleh memerhati dan memberi teguran kepada pemandu bas jika dia berkelakuan kurang elok semasa memandu bas. Oleh sebab itu saya tidak melibatkan diri dalam politik kepartian tetapi menyokong dan mendokong politik yang berpaksi kepada kesejagatan dan kesejahteraan manusia, kerana saya berpegang kepada falsafah dan sains politik, terutama sekali yang bersangkutan dengan masyarakat ini!
Mungkin ramai yang kenal dengan politik, tetapi tidak mengkaji, membaca dan mengetahui apa itu politik, sains politik dan falsafah politik, malah pengamal politik atau politikus sendiri tidak pernah mahu membaca dan memahami apa lagi mengaplikasi falsafah politik yang positif.
Mungkin juga ada kalangan ahli politik termasuk yang berkuasa tidak dapat membezakan apa dia politik, sains politik dan falsafah politik. Jika kita tidak tahu perkara ini, sudah tentu kita mengamalkan politik 'BUTA', dan jika ini berlaku tidak syak bahawa kita akan menyimpang daripada pegangan dan politik yang beretika dan dan ini lah yang berlaku dalam politik yang diterajui UMNO dan BN.
Seorang pejuang politik terkenal yang mempelopori kepada politik dengan berpaksi kepada "non resistence" dan "non violence" pernah berkata " This world is enough for every body, but will not enough for ONE person who is greedy" - Mungkin anda semua tahu siapa yang berkata demikian. Pepatah orang India juga ada menyebut " Seorang pengutip madu sesekali akan menjilat tangannya yang mengumpul madu" Jadi itulah yang banyak berlaku dalam politik hari ini, apa lagi dalam UMNO dan BN dan ini yang berlaku dalam kalangan pemimpin dan yang pemimpin orang Kedayan!

Wednesday, January 13, 2010

PENDATANG HARAM BEBAS DI SABAH

Laporan berita beberapa hari lalu ada menyebut lebih 30 ribu orang "pelancong" dari India tidak balik setelah tamat pas lawatan mereka. Pihak kerajaan nampaknya amat risau dengan jumlah yang dilihat amat sedikit jika dibandingkan dengan PATI dari Filipina dan Indonesia khususnya di Sabah. Saya kurang pasti apakah alasan pihak kerajaan membuat kenyataan bahawa mereka akan dicari bagi memastikan mereka kembali ke negara asal.

Yang lebih pelik dan menghairankan , mengapa PATI di Sabah yang beratus ribu jumlahnya dan hampir menyamai jumlah penduduk pribumi Sabah langsung tidak merisaukan pemerintah. Apakah logiknya bagi kerajaan membezakan dua kesalahan yang sama tapi tumpuan berbeza.

Tapi inilah lumrah bagi pemimpin kerajaan yang diterajui BN dan UMNO. Di negara ini mencuri lebih dihormati daripada meminta bantuan, sebagai contoh, jika anda berani anda boleh merompak bank, tidak salah kecuali tertangkap berbanding anda memohon pinjaman, kerana memohon pinjaman banyak karenah yang akan ditemui berbanding anda merompak bank. Jadi fikirkan lah apa mentaliti pemerintah di negara ini.

Tuesday, January 12, 2010

UMNO BN TIDAK SALAH

Kesan daripada PRU 12 lalu, komponen BN masih terkial-kial untuk mencari rentak dalam menuju jalan untuk meraih kembali kepercayaan rakyat, khususnya golongan muda dan berpendidikan. Sehingga kini ada beberapa cadangan supaya golongan profesional dibawa masuk kedalam kem BN dan UMNO, begitu juga dengan sesetengah cadangan supaya anak anak muda khususnya mahasiswa/i dibawa masuk sebagai ahli dalam parti politik dominan. Walau bagaimanapun kuatnya pemakaian 'teori elit' dalam parti adalah tidak mudah anak-anak muda untuk masuk bersama untuk berjuang, yang pasti merek aakan menjadi alat dan diperalatkan, ini pasti.

Sehingga kini, dua buah parti dominan dalam komponen BN yang masih terkial-kial adalah MCA dan MIC. MCA masih bergelut dengan masalah kepimpinan dan ahli masih lagi keliru mengenai siapa yang harus diberi kepercayaan memimpin. MIC pula masih lagi bergelut dengan kedegilan presiden yang mahu berkuasa selagi hayat dikandung badan.

Jadi begitu lah masalah UMNO-BN dalam menghadapi PRU ke13 nanti. Sebenarnya dalam perkara ini UMNO/BN tidak salah dan yang salah adalah pemimpin parti. Parti seperti UMNO,MIC dan MCA adalah umpama sebuah bas yang membawa penumpang. Jika pemandunya membawa dengan laju dan dibelok ke sebuah jalan yang 'gravel' maka penumpang akan membenci pemandu dan juga bas yang dipandu, sedangkan bas tidak tahu apa-apa, yang menjadikan keadaan buruk adalah pemandu bas berkenaan. Dalam hal ini, kebencian rakyat kepada sesetengah parti seperti UMNO,MIC dan MCA, adalah disebabkan oleh tabiat buruk dan 'HIPOKRAT' dan sikap 'NATO' oleh majoriti para pemimpin politik dalam BN.

Saya tidak membenci parti tapi cara kepimpinan parti yang dibenci. Anda bagaimana?

Sunday, January 10, 2010

AHLI POLITIK VS PEMANDU AMBULAN SIAPA BOLEH DIPERCAYAI

Jika anda dipilih sebagai responden untuk satu tinjauan bagi memilih suatu kerjaya yang boleh dipercayai dan diharap apakah pilihan anda? Dalam suatu tinjauan beberapa tahun lalu di Amerika Syarikat yang dilakukan oleh sebuah badan dan mendapati responden telah memberikan jawapan yang amat menarik.

Berikut adalah dua kerjaya yang paling atas dan yang paling bawah menurut keputusan kajian yang dibuat berdasarkan kepada jawapan daripada responden.


Ahli Politik

Ahli politik adalah menerima jawapan paling bawah dan merupakan orang yang tidak boleh dipercayai berbanding lain-lain kerjaya.

Walaupun tinjauan dibuat adalah di Amerika Syarikat, namun amalan berpolitik antara Malaysia dan Amerika tidak banyak bezanya. Ini adalah kerana kedua-duanya ingin mencari, dan mengekalkan kuasa yang ada. Amat jarang ahli politik berpegang kepada etika politik malah mungkin ada antara mereka yang tidak pernah mengetahui buku-buku yang ditulis berkaitan etika politik. Bagi ahli politik negeri Sabah mungkin apatah lagi, apabila ramai kucing kurap terlibat dengan politik cari makan. Malah bagi golongan ini menceburi dalam parti politik adalah semata-mata mencari kedudukan dan mencari peluang untuk kekayaan, seperti kontrak, qouta, lesen, permit dan sebagainya untuk kekayaan, tapi bukan berpolitik untuk meningkatkan taraf hidup rakyat!.

Pemandu Ambulan

Kerjaya yang paling dipercayai pula menurut tinjauan ini adalah pemandu ambulan. Lihat betapa jauhnya beza keperayaan masyarakat antara ahli politik dengan pemandu ambulan. Sungguhpun kerjaya ini selalu dipandang rendah berbanding ahli politik, namun dalam segi lain ia amat mendapat kepercayaan oleh masyarakat. Jika tinjauan ini dilakukan di negeri Sabah atau di negara ini khususnya, mana kerjaya yang lebih anda percaya antara keduanya?

Saturday, January 9, 2010

PEMUDA UMNO SIPITANG BERMAIN GIMMICK

Mudah kembang. Itu adalah perkataan sesuai apabila pemimpin pemuda UMNO Sipitang diminta menjadi sekolah SK Pekan Sipitang sebagai sekolah angkat kepada pergerakan berkenaan. Lalu dengan perasaan 'kembang' bermacam lah gimmick dilakukan dengan ikrar menjadikan pelajaran dijadikan agenda utama pergerakan berkenaan.

Setelah hampir dua tahun ' akibat kembang' disebabkan termakan puji oleh guru-guru dan guru besar SK Pekan, apakah program yang dapat mengangkat martabat kemajuan pelajaran di sekolah berkenaan? Jumlah murid yang mencapai 5A dalam UPSR tahun lalu tidak lebih daripada 5 orang. Apakah yang dapat dibanggakan?

Kalau setakat 'kembang' sebab diangkat kerana kepentingan guru-guru untuk meminta 'sponsor' kerana hendak membuat lawatan keluar negeri, apa faedah yang diperolehi oleh anak-anak kita?

Sekolah menjadi mangsa dan anak-anak menjadi korban. Itulah janji politik.......

Thursday, January 7, 2010

JABATAN AIR SIPITANG -PERKHIDMATAN PALING BURUK

Jabatan Air adalah sebuah agensi kerajaan negeri yang bertanggungjawab memberi perkhidmatan dalam membekalkan air kepada rakyat. Sebagai agensi yang bertanggungjawab, seharusnya perkhidmatan yang terbaik diberikan selaras dengan kehendak visi dan misi yang ditetapkan.

Bagi daerah Sipitang, belakan air yang diberikan umpama kapal selam, atau iklan biskut roti yang poplar suatu masa dahulu, iaitu sekejap ada, sekejap tiada. Bagaimana jabatan ini melaksanakan tanggungjawab utama kepada masyarakat, apabila perkhidmatan utama ini pun tidak dapat dipenuhi,. Apa masalah yang dihadapi oleh jabatan ini, sama ada sikap manusia, iaitu kakitangan jabatan berkenaan tidak melaksanakan tanggungjawab dengan sepenuhnya, atau kegagalan pihak pengurusan melaksanakan tanggungjawab dalam menyelia dan mentadbir jabatan.

Kepada pemimpin rakyat di Sipitang tolonglah rakyat di daerah ini, keran air adalah punca segala aktiviti kehidupan.

Wednesday, January 6, 2010

KEDAYAN SIPITANG DALAM UMNO DIJUAL

Berapa harga yang diletakkan terhadap kaum Kedayan dalam UMNO Sipitang? Kalau lelong mungkin kurang daripada RM1. Begitulah murahnya harga kaum Kedayan yang berjuang (kononnya ) dalam sebuah parti dominan di Malaysia, iaitu UMNO. Ramai pemimpin Kedayan dalam parti ini mungkin tidak dapat menerima hakikat bahawa mereka telah sebenarnya dijual seperti dalam wayang allahyarham Tan Sri P Ramlee Tiga Abdul.

Saya ingin mengajukan persoalan kepada semua pemimpin Kedayan dalam UMNO Sipitang terutama sekali dalam AJK Bahagian, baik pemuda, putera, wanita dan puteri, sejauhmana mereka akan pergi dalam parti ini, dan sejauhmana mereka boleh bertahan untuk mempertahankan jawatan mereka dalam parti diperingkat bahagian dan setakat mana mereka akan dapat dilanjutkan dalam cabang parti yang mencabar seperti dalam ajk bahagian.

Dalam situasi perebutan kuasa yang sentiasa sengit dalam UMNO berlandaskan peluang lain, seperti untuk menjadi calon dalam pilihanraya akan datang, peluang untuk mendapat habuan seperti 'projek' kerajaan dan sebagainya, adalah mustahil kaum Kedayan dalam UMNO dapat berdiri untuk menegakkan kaum Kedayan didaerah ini.

Apa sebenarnya yang berlaku dalam kaum Kedayan di Sipitang ini? Mengapa mereka terlalu murah harganya untuk dijual dan dikotak katikkan oleh orang lain. Siapakah 'the next on line' menjadi calon sama ada di N 27 atau P 178. yang jelas ia bukan daripada kaum Kedayan. Mengapa saya meramal demikian? Mungkinkah berlaku dan sejara akan tercatat bahawa wakil rakyat DUN Sindumin jadi 'the next CM? Perkara ini tidak mustahil berlaku, tetapi yang pasti ia BUKAN daripada kaum Kedayan atau lebih tepat lagi bukan YB Ahmad Hj Bujang! Tetapi ia adalah seekor ular sedang membesar menjadi seekor naga di alam UMNO Sipitang yang diasuh daripada cabang pemuda. Ia akan sedia membaham siapa jua yang berada didepannya ketika itu nanti, jadi bersedia!. Jika ini terjadi maka berlakulah sejarah dengan NYATA sekali seperti dalam cerita pak pandir "ayam menang tapi kampung tergadai". Jika teori ini benar, maka ini jelas bahawa kaum Kedayan telah menjual bangsa mereka dalam UMNO dengan murah sekali!

Ingin saya bertanya kepada semua pemimpin Kedayan di Sipitang yang setia dalam UMNO, dan berapa ramai daripada anda yang dipercayai oleh kepimpinan atasan UMNO peringkat negeri dan kebangsaan? Mungkin tidak ada langsung! yang ada hanya jadi pak turut dan saya amat pasti anda menjadi 'pengikong nganya dai balakang, bila dangan bakantut mancium haing kantut dangan nganya. Mungkin itu lah hasil pelaburan anda dalam UMNO? Pastinya anda dapat.

Saya akan terus bertanya peranan anda dalam politik bagi mengangkat bangsa Kedayan!

Tuesday, January 5, 2010

POLITIK PERIBADI ATAU PERPECAHAN POLITIK

Persatuan Kedayan Sabah yang ditubuhkan sejak lewat 1970an telah acap kali bertukar pemimpin namun keberkesanan persatuan masih lagi ditakuk lama, tulisan saya sebelum ini, saya membuka ruang kepada para pemimpin dalam masyarakat ini untuk tampil dan menyelamatkan persatuan demi kepentingan ahli dan msayarakat Kedayan sendiri.

Saya berharap, dalam waktu terdekat persatuan ini akan mendapat nafas baru dan boleh hidup seperti biasa dan menjalankan aktiviti yang akan dapat memberi manfaat kepada ahli dan masyarakat Kedayan amnya. Walaupun begitu, saya masih samar sama ada pemimpin Kedayan bersedia memberi 'pertolongan cemas' kepada persatuan yang sedang 'nazak' ini untuk diberikan pertolongan.

Memang tidak dapat dinafikan, aktiviti dalam berpersatuan , tidak terkecuali Persatuan Kedayan Sabah, adalah sebahagian daripada politik tetapi apa yang penting jangan sampai politik membawa kepada perpecahan dan mengakibatkan kerugian kepada semua pihak. Yang lebih malang adalah apabila pemimpin politik kepartian telah dibawa masuk bersama politik peribadi kedalam aktiviti berpersatuan.

Dalam hal ini, para politikus Kedayan sepatutnya tahu memisahkan dan membezakan antara perkara profesional dan perkara personal. Yang malangnya sejak sekian lama, masyarakat ini masih gagal memahani antara keduanya, baik pemimpin politik mahupun pemimpin persatuan. Sebaliknya apa yang terus berlaku adalah, fahaman politik kepartian dibawa bersekali kedalam persatuan, perkara ini membawa kerugian dan bibit perprcahan dan kehancuran kepada persatuan secara menyeluruh.

Apa yang seharusnya dilakukan adalah, semua pihak termasuk golongan profesional ahli politik dan pegawai kerajaan yang berwibawa bergabung dan berpimpin tangan dalam memainkan peranan untuk menghidupkan persatuan demi untuk survival bangsa Kedayan.

Sampai bilakah suasana ini akan kita lihat dapat dilakukan dalam masyarakat Kedayan?

BERKUBUR TANPA NISAN KAH PERSATUAN?

Telah sekian lama tidak kedengaran mengenai aktiviti Persatuan Kedayan Sabah, entah kemana persatuan ini telah dibawa, berbanding dengan persatuan etnik lain, mereka gah dengan pelbagai pembaharuan dan aktiviti yang dapat dimanfaat oleh ahli secara khusus dan masyarakat secara umum.

Mengapa perkara ini berlaku?, satu persoalan yang perlu dijawab oleh masyarakat dan kaum Kedayan sendiri termasuk para pemimpin yang berkepentingan dalam masyarakat Kedayan di Sabah khususnya dan di Sipitang khasnya dimana kaum ini ramai.

Daripada apa yang berlaku, saya melihat permasalahan dalam masyarakat Kedayan, termasuk dalam aktiviti berpersatuan adalah disebabkan oleh perpecahan politik dalam masyarakat Kedayan selain adanya 'invicible hands' atau tangan tak ketara yang sengaja mahu melihat kepimpinan dalam persatuan ini hancur dan berpecah demi kepentingan dan survival politik seseorang. bak kata peribahasa Melayu, Jong Pecah Yu Kenyang. Pasti ada orang ketawa terbahak-bahak kerana senang hati melihat situasi yang berlaku kepada Persatuan Kedayan Sabah.

Jika perkara ini dibiarkan, masyarakat Kedayan khususnya di Sabah akan menjadi 'laughing stalk' oleh pihak-pihak tertentu yang dengan sengaja ingin melihat persatuan ini berkubur, apatah lagi dalam masa tertentu persatuan ini nampak kurang cenderong memihak kepada politik tertentu.

Jika masih ada pemimpin kedayan yang "berwibawa"? dan yang benar-benar sayang kepada persatuan ini dan sayang, serta cinta kepada bangsa ini, mengapa mereka tidak bertindak membantu membalingkan 'life buoy' kepada persatuan yang hampir lepas ini, saat mana ketika persatuan ini terkapai-kapai untuk hidup. Tolak lah sedikit sentimen politik anda agar persatuan ini dapat bernyawa demi untuk masyarakat Kedayan!

Jika perkara sekecil ini kita tidak dapat menyelesaikan, apakah kita perlu memohon kepada bangsa lain untuk menyelesaikan masalah bangsa kita?. Jika 1Malaysia ada, kenapa tidak ada ONE KEDAYAN???????

Ayuh Fikirkan tia lai!!!!!!!!

Monday, January 4, 2010

UMAT ISLAM BANTAH GUNA KALIMAH MILIK ISLAM

Keputusan mahkamah membenarkan pihak akhbar gereja Katholik menggunakan perkataan Allah dalam akhbar mingguan penerbitan mereka mendapat reaksi dan bantahan bukan sedikit, mungkin ini bantahan 1Malaysia, atau juga ada mungkin sesetengah pihak hanya mahukan publisiti, maklumlah isu agama ini jika dipolitikkan mudah mendapat sokongan, hatta membawa parang, cangkul dan golok sanggup dilakukan.

Setakat ini beberapa NGO islam telah banyak membuat bantahan, berkaitan isu pengunaan Allah oleh pihak gereja Katholik berkenaan. Keputusan mahkamah ini memberi ruang para politikus mengeksploitasi isu demi kepentingan politik mereka. Saya percaya meskipun isu sebenar adalah isu agama, tetapi jika orang politik telah mengambil tempat, maka ia akan menjadi satu modal penting bagi sesetengah individu.

Sebenarnya dalam mana-mana negara pun di dunia yang bermasyarakat majmuk, isu sensitif berkenaan memang amat mudah dijadikan modal politik dan tidak terkecuali di negara ini. Di Malaysia kemajmukan ini bertambah majmuk apabila masyarakat dipisahkan oleh beberapa segmen seperti kaum dan agama. Sebagai contoh, orang kaum India ada beragama Hindu, Islam dan Kristian, orang Cina ada beragama Budha, Tao, Kristian dan Islam, begitu juga dengan masyarakat di Sabah Sarawak seperti Kadazan-Dusun ada beragama Kristian dan ada juga beragama Islam, manakala di Sarawak pula ada orang Melanau beragama Islam dan ada pula beragama Kristian, Jadi ia semakin rumit dan begitu sensitif sekali.

Apapun keputusan dan reaksi yang diberikan oleh ahli masyarakat, kita perlulah menunggu sehingga mahkamah tertinggi bersidang dan membuat keputusan yang yang wajar lagi adil. bukan sahaja kepada penganut Islam tetapi juga kepada masyarakat keseluruhannya. Namun kita harapkan pihak mahkamah jangan pula sampai rakyat negara ini berbunuhan sesama sendiri baharu membuat keputusan. Dipihak lain pula, para pemimpin politik perlu memainkan peranan yang sebenar bagi menjaga keharmonian rakyat.

Masyarakat dan Persatuan Kedayan dimana?