Sunday, January 25, 2009

Bolasepak oh bolasepak

Rakyat Malaysia khususnya peminat bolasepak pasukan kebangsaan negara sekali lagi menunjukkan reaksi dengan kekalahan kepada pasukan UEA 5-0 di hadapan peminat negara. Bertindak kurang rasional, ada penonton membaling botol air kearah jurulatih UAE. Manakala jurulatih negara membuka polimik baru semasa sidang akhbar.

Sebenarnya ramai rakyat Malaysia mengharapkan pasukan kebangsaan Malaysia bermain cemerlang dan mengangkat martabat bolasepak negara. Namun setelah sekian lama, mutu bolasepak negara bukan sahaja berada ditakuk lama malah semakin mengundur ke belakang jika diukur dari segi mutu permainan, dan nasionalisma pemain. Keadaan ini berlaku disebabkan oleh beberapa faktor yang boleh dibahas. Antaranya:-

1. Liga M yang kita banggakan adalah liga substandard dengan mentaliti para pemian berada ditahap kelas ketiga jikapun tidak lebih rendah daripada itu. Perkara ini berlaku adalah kerana majoriti para pemain bolasepak negara yang mereka panggil professional konon (ala Malaysia) adalah kalangan yang tidak pernah menjejaki sekolah melebihi tingkatan lima (SPM) gred 3 atau SAP sahaja. Dek kerana ada kelebihan fizikal mereka memilih bermain bolasepak, meskipun bakat, komitmen dan nasionalisme kelas penagih. Seorang bekas jurulatih negara pernah melabelkan para pemain Malaysia hanya layak bekerja kilang. Namun hakikatnya syarikat kilang pun mereka tidak akan diambil bekerja.

2. Bermain dengan pasukan kebangsaan tidak mendatangkan keuntungan sebaliknya kerugian. Jika dibandingkan dengan para pemain kelab di Eropah, bermain diperingkat kebangsaan bererti mereka mendedahkan pasaran akan datang mereka kepada kelab lain untuk membeli mereka dengan kos dan gaji yang lebih mahal. Di Malaysia perkara ini tidak ada, mungkin mereka akan bermain dengan kelab lain atau negeri lain dengan environmen yang sama. Jadi apa gunanya mereka bermain mati-matian untuk negara, jika tercedera semasa bermain dalam pasukan kebangsaan, mereka akan berada di pihak yang rugi kerana tidak akan dapat gaji daripada kelab yang mereka wakili.

3.Pemain malas dan bermain untuk cukup makan sahaja. Pilih dan ambillah jurulatih dari ceruk mana sekalipun, Malaysia tidak akan kemana. Claude Le Roy pernah melatih para pemain kebangsaan Malaysia untuk beberapa tahun, dia tahu dari segi komitmen, bentuk fizikal dan mentaliti bukan daripada yang beliau harapkan, daripada membuang masa dan menipu diri, beliau berhijrah ke Cameroon. Beliau telah membawa Cameroon ke pusingan akhir piala dunia. Robert Albert yang dilantik sebagai pengarah teknikal akhirnya menyedari apa yang telah berlaku. Beliau juga bertindak seperti Claude Le Roy.

4.Tidak tahu bermain bolasepak. Rata-rata rakyat Malaysia tidak dapat membezakan antara bermain bolasepak dengan menendang bola. Terdapat beza yang amat besar antara bermain bolesepak dengan menendang bola. Rata-rata pemain Liga M hanya tahu menendang bola, maknanya tidak ada bezanya antara pemain bolasepak liga M dengan pemain bolasepak peringkat tadika dan sekolah rendah, yang membezakanhanya gaji mereka. Mereka hanya tahu menendang bola buka bermain bolasepak. Bermain bolasepak melibatkan tumpuan pemikiran, perkiraan teliti, latihan, kesungguhan, iltizam, komitmen, taktikal, strategi, mindset, psikologi, nasionalisme. Semua ini hanya dapat dipelajari di peringkat kolej dan universiti. Pemain liga M hanya takat (SPM gred 3) bagaimana mereka dapat menguasai ilmu bolasepak.

5.Peraturan untuk bermain bolasepak pro dinegara ini tidak membezakan yang pro dan amatur. Selagi tidak ada peraturan yang mengehadkan dan membezakan pro dan amatur bolasepak Malaysia akan berada disana selama-lama. Sepatutnya pro hendaklah diberi lesen dan lesen ini hanya diperolehi setelah memenuhi kriteria pro yang sebenar, dan lesen ini boleh ditarik balik dan dilarang bermain secara pro atau menyertai mana-mana kelab jika sekiranya persembahan mereka merosot. Jika demikian mereka tidak ada pilihan kerana periuk nasi mereka.

Masih banyak lagi kelamahan yang perlu dibaiki dalam ligaM. Tanpa melibatkan golongan pemikir, mereka akan terus menendang bola tetapi tidak bermain bolasepak.

Thursday, January 22, 2009

Tendang Sana Siku Sini Kerana Nak Menang

Pilihan raya dalaman UMNO semakin hampir. Kempen dan lobi melobi semakin rancak. Calon yang berduit dan dikira kaya, sanggup berhabis-habisan asal menang dan mendapat kedudukan dalam parti. Ini strategi pertama, namun ada lagi strategi lain yang juga penting dijalankan oleh calon-calon yang bertanding kali ini.

Di Selangor, bekas MB UMNO menyarankan agar MB dari PKR mengosongkan buat sementara waktu kerusi MB bagi memberi laluan kepada satu siasatan yang didakwa sebagai menyalah gunakan kuasa oleh MB. Biasalah kalau dah hilang kuasa apa saja yang buat oleh pihak lawan akan dilihat dan diperhatikan atas alasan ketelusan dan macam-macam lagi. Ini dunia politik. Kita boleh buat apa saja semasa berkuasa dan tidak ada yang salah, tetapi apabila kita hilang kuasa dan kuasa di pihak lawan kita kata macam-macam. Kita tak pernah buat salah semasa berkuasa sebab kita bersih! Tambahan pula sekarang dalam masa yang sama kita sedang berkempen untuk merebut jawatan dalam pemilihan UMNO, sambil tarikh perhatian perwakilan lah kira.

Ini kelemahan UMNO. Sekiranya rakyat telah membuang kita, apa guna kita masih lagi nak jadi hero. Lebih baik buat benda lain yang memberi faedah kepada masyarakat. Banyak sangat pemimpin UMNO yang mempunyai "semangat kental" untuk berjuang meskipun telah dibungkus dan dibuang oleh rakyat. Jika ini berterusan dan tidak ada penjenamaan semula UMNO, parti ni akan bungkus, gulung tikar dan muflis dalam PRU akan datang. Orang-orang yang telah dibuang oleh rakyat ini umpama membocorkan kapal dari dalam, dan kapal akan tenggelam dengan lebih cepat.

UMNO sekarang sudah jadi kuda tempang, harimau yang tiada taring, malah kurus kering macam orang kena tibi. Sikap 'reverse psychology' memburuk-burukkan lawan dan memenangkan diri tidak lagi terpakai dan dimaklumi sangat oleh rakyat. Komen seorang pembaca Utusan Malaysia dalam salah satu ruangan berbunyi "Pemimpin UMNO hari ini seharusnya sepuluh kali lebih baik daripaa pemimpin UMNO masa lampau, tetapi sebaliknya mereka sepuluh kali lebih buruk daripada mereka"

Kepada pemimpin UMNO jenis ini, lihat-lihat lah ke belakang.

Tuesday, January 20, 2009

SEMUA PEMIMPIN BN PERLU MERENDAH DIRI KEPADA RAKYAT

Timbalan Perdana Menteri Dato Seri Najib Tun Razak telah membuat ingatan kepada semua pemimpin BN supaya berubah dengan membuang tabiat buruk yang tidak disenangi rakyat bagi menjamin kelangsungan UMNO dan BN khususnya bagi meneruskan pemerintahan selepas pilihan raya umum akan datang

Barangkali ramai pemimpin UMNO sedar akan tabiat buruk mereka sama ada dari peringkat cawangan ( pemimpin nyamuk) hingga lah kepada pemimpin peringkat bahagian dan seterusnya negeri dan negara.

Apakah DSNTR baru sedar setelah mengalami kekalahan kedua dalam pilihanraya kecil khususnya di Permatang Pauh dan Kuala Terengganu yang baru berlangsung. Sebenarnya terlalu banyak kesilapan oleh para pemimpin dalam UMNO dan BN yang menjadikan rakyat semakin menjauhkan diri daripada UMNO dankomponen BN yang lain.

Antara kesilapan yang nyata adnatanya adalah:

1.Sikap sombong, bongkak, bangga diri, ego, mementingkan diri sendiri dan keluarga, pembohong, mengada-ngada, suka diampu dan dipuji.

2. Membolot semua projek kerajaan di kalangan ahli UMNO-BN ( Ketua dan AJKnya) sahaja bagi memberi mereka hidup untuk kepentingan mereka.

3. Mengada-ngada dimuka rakyat, sekiranya ada projek dan penyampaian program kebajikan para pemimpin BN akan bermuka-muka dengan pemberita masing-masing yang diupah untuk memuatkan gambar mereka di dada-dada akhbar.

4. Menunjuk-nunjuk kekayaan masing-masing ( termasuk semua AJK bahagian, wanita, puteri dan putera UMNO) dengan jenis kereta yang melebihi kemampuan mereka, sedangkan sebelum menjadi ahli UMNO ada kalangan mereka hanya sebagai pemandu teksi, pekerja kilang dan pekerja bawahan sahaja, namun setelah menjadi ahli parti dan memegang jawatan, mereka menunjuk-nunjuk kekayaan dengan kereta besar, rumah besar dan sebagainya.

5. UMNO dan BN tidak masih lagi berselindung dan berdolak dalik terdapat rasuah politik yang maha dahsyat dalam kalangan UMNO-BN. Setiap kali ada pemilihan parti, perwakilan siberi sogokan dengan bermacam kemudahan termasuk wang ringgit, lawatan, hotel dan macam-macam lagi.

6. UMNO tidak lagi memperjuangkan kepentingan orang Melayu sebaliknya hanya memperjuangkan elit dalam parti UMNO untuk meneruskan kuasa.

7. UMNO an BN telah menjadi sebagai sebuah parti 'politikalekonomi' yakni mereka yang berjawatan dan berkuasa dalam parti mempunyai hubungan seperti lembu dengan rumput dan'lembu-lembu gemuk' ini akan diperah susunya apabila tiba waktu pemilihan bahagian, dan pusat, dan jika menang dalam pemilihan seterusnya dipilih dalam pilihanraya umum sebagai calon dan seterusnya menang dan dilantik kedalam kabinet, maka mereka akan memberi projek pula kepada 'lembu-lembu gemuk' tadi.

8. Ada sesetengah pemimpin UMNO dan BN sanggup membelakangkan undang-undang dek kerana mereka adalah orang parti yang memerintah, lihat sahaja di Selangor seorang bekas exco membina bangunan ditengah-tengah kampung tanpa memperdulikan sensitiviti rakyat. Terdapat juga mereka memasang 'parabola' di laman rumah mereka. Tindakan tidak berani diambil oleh agensi penguatkuasa kerana mereka dianggap telah KEBAL.

Itu adalah diantara sifat buruk para pemimpin UMNO BN yang sempat dilambakkan, namun banyak lagi keburukan yang masih terbuku dihati rakyat dan rakyat hanya akan memberi hukuman ini pada pilihan raya umum ke 13 akan datang.

Sejarah telah membuktikan apabila USNO dan perikatan terkubur tanpa nisan di Sabah disebabkan oleh kebodohan para pemimpinnya, perkara ini tidak mustahil terpalit kepada UMNO dan BN dan UMNO-BN akan hanya tinggal sebagai pembangkang dan seterusnya lenyap sebagaimana USNO dan perikatan di Sabah.

Sejarah sering dilupa kerana Melayu mudah lupa......


Saturday, January 17, 2009

KEPUTUSAN PRK KT

Keputusan PRK KT telah diumumkan oleh pengurus pilihan raya bagi parlimen KT dan disiarkan melalui televisyen sekitar jam 9.55 malam. Sepenti jangkaan awal saya UMNO-BN menghadapi situasi sukar bagi memenangi pilihan raya kecil ini.

Melalui hebahan yang disiarkan melalui televisyen, ternyata tekaan saya betul apabila BN UMNO gagal memenangi kawasan parlimen Kuala Terengganu. Kurang pasti apa pula alasan pihak yang kalah selepas ini khususnya UMNO untuk menjelaskan kepada penyokong-penyokong mereka. Walau pun kekalahan ini tidak membawa erti yang banyak kepada parti yang memerintah iaitu BN tetapi ia akan membawa kesan jangka panjang kepada UMNO sekurang-kurangnya sehingga pilihan raya ke 13 nanti.

UMNO masih kurang memahami hati nurani rakyat yang mahukan perubahan. Natijahnya ini lah yang terjadi apabila parti yang merasakan mereka terlalu perkasa dan hanya mereka yang tahu memerintah negara dan memberikan segala-galanya kepada rakyat. Yang menghakimi bukan orang lain tetapi rakyat sendiri khususnya para pengundi. Rakyat telah memberi isyarat sejak beberapa bulan lalu bahawa mereka mahukan pemimpin yang dapat dipercayai membantu mereka dan berkhidmat dengan ikhlas untuk kepentingan rakyat.

Kesilapan memilih calon nampaknya masih berulang di kem UMNO dan BN. Kesilapan ini jika diulangi di masa depan walau apa jua jenis pilihan raya pasti akan mempercepatkan UMNO dan kerabat lain dalam BN untuk menjadi sebagai pembangkang di parlimen.

Kalangan pemimpin UMNO hari ni tidak mahu mengakui bahawa rakyat telah bijak, dan dalam masa yang sama mereka juga tidak mahu mengakui bahawa kalangan pemimpin dalam UMNO sendiri telah menjadi paku berkarat yang bila-bila masa akan membawa keruntuhan kepada parti. Saya amat yakin bahawa nafas UMNO dan BN semakin semput maka dalam keadaan ini tidak ada bantuan pernafasan yang boleh memanjangkan hayatnya, maka yang perlu ditunggu hanya masa untuk menghembuskan nafas terakhir. Kalangan yang mempunyai kepentingan dengan UMNO mereka masih lagi berpegang kepada-UMNO kini dan selamanya. yang selamanya adalah nama namun perjuangannya telah hampir berakhir!

Sama-sama kita lihat.

Wednesday, January 7, 2009

Siapa berkuasa Ketua Bahagian atau Ahli Parlimen

PRU 12 mendahului pemilihan UMNO peringkat bahagian. Sebelum dewan rakyat dibubarkan ramai ketua bahagian UMNO adalah juga ahli parlimen, namun setelah PRU 12 ada sesetengah ketua bahagian tidak dicalonkan semula sebagai calon ahli parlimen, namun dalam pemilihan UMNO peringkat bahagian masih dapat mengekalkan kuasa.

Dalam situasi ini, sedikit kacau bilau dalam perjalanan politik kepartian dan pentadbiran peringkat parlimen. Dalam peringkat parti sesetengah ahli parlimen hanya sebagi ahli biasa dan jika terlibat dalam mesyuarat pun hanya duduk di kerusi biasa, ketua bahagian dan ajk nya merupakan pemimpin yang berkuasa.

Dalam keadaan ini, kedudukan sebagai ahli parlimen menjadi sedikit 'sesak nafas' kerana seolah-olah sebagai orang yang kalah dan hilang pengaruh, jadi dimana silapnya, saya berpendapat sudah sampai masanya untuk menentukan bahawa kalangan mereka yang menduduki jawatan dalam bahagian bukan dan jangan semestinya dipilih bertanding dalam pilihanraya, keadaan sekarang sebenarnya telah menjadikan amalan rasuah politik tidak dapat dihapuskan.

Jika kita soroti keadaan pada awal 60an, hampir tidak ada orang mahukan jawatan sebagai ketua bahagian, kerana takut untuk tidak dapat memikul amanah, ketika itu pimpinan atasan terpaksa menggunakan kaedah paksaan dan ugutan untuk memaksa seseorang menerima jawatan ketua bahagian. Berbeza dengan situasi selepas itu, tawar-menawar diri telah menjadi perkara biasa dan lebih parah rasuah-merasuah dan ugut mengugut di kalangan yang bertanding berlaku. Alasanya amat mudah, jika menang imbalan menunggu sama ada jawatan, projek dan sebagainya. Maka berlakulah rasuah politik yang tidak mungkin akan dapat dibendung lagi.

Perkara ini perlu difikirkan oleh pemimpin dalam parti.!

PRK Kuala Trengganu

Perang telah bermula, Kuala Trengganu penentu hidup mati karier politik calon BN-UMNO. Meskipun dijanjikan awal-awal lagi jawatan timbalan menteri kepada beliau, masih belum pasti kemenangan berpihak kepada BN. Terlalu banyak isu dan masalah dalam BN dan UMNO menjelang Mac ini. Jika menang jawatan menanti, jika kalah apa-apapun belum pasti kerana beliau tidak dapat dilantik semula sebagai senator.

Ramai kalangan meramalkan pertarungan kini sengit meskipun terdapat tiga calon untuk kawasan parlimen berkenaan bertanding. Calon daripada PAS bukan orang yang terkenal sangat, tetapi kelebihan parti banyak manfaat kepada beliau.

Dalam hal ini ada timbang berat yang perlu diambil kira. Antaranya BN mempunyai kelebihan tetapi tidak boleh selesa. Mulai sekarang banyak janji politik dan peruntukan politik ditabur di KT. Media dan agensi saraf kerajaan bekerja keras bersama-sama jentera BN. Peranan media sama ada akhbar dan tv boleh menenggelamkan UMNO-BN di KT, sebabnya mudah rakyat telah mulai muak dengan kempen dan politik yang keterluan. Kerajaan BN banyak mengasak dan memperkecilkan kemampuan PR sedangkan PR tidak mempunyai ruang yang cukup untuk mempertahankan diri sebaliknya media alternatif seperti blog, SMS jadi perantara. Maknanya bergerak dalam senyap.

Saya mempunyai firasat bahawa calon BN menghadapi situasi sukar, ini kerana UMNO - BN nampaknya seolah-olah tidak ada calon lain yang lebih wibawa untuk PRK KT ini, buktinya apabila calon PRK KT ini diumum sebagai calon beliau telah dilantik sebagai ahli dewan negara, dan beberapa hari selepas mengangkat sumpah jawatan, melepaskan jawatan untuk bertanding dalam PRK KT ini. Ini menampakkan sangat UMNO pimpinan Trengganu tamak. Adakah tidak ada calon lain yang layak? Jika ini menjadi pertimbangan rakyat khususnya dalam PRK KT maknanya PAS tidak menghadapi masalah di KT ini

Apa yang dilihat kini, peruntukan mencurah-curah di KT, meskipun dijelaskan ia telah diluluskan awal, tetapi sebagai rakyat tidak berfikiran sedemikian, sebaliknya ia adalah gula-gula untuk PRK KT ini.

Apapun, kita tunggu keputusan dalam PRK KT ini, jika BN menang kredit bakal PM baru jika sebaliknya banyak orang perlu tanggung antaranya pencabar-pencabar dan calon-calon yang bertanding dalam pemilihan UMNO akan datang. Sama-sama kita tunggu dengan penuh minat!

Sunday, January 4, 2009

Bila Y.B Berlakon dan Bohong Dewan Rakyat

Dewan Rakyat atau dalam bahasa Inggeris disebut ' Parlimen House' merupakan dewan yang mulia dan kerap juga YB menyebut ' di dewan yang mulia' ini apa bila berbahas mengenai sesuatu rang undang-undang.

Ruangan siaran langsung dalam media tempatan khususnya tv telah menmberi kesempatan kepada rakyat untuk menilai gelagat ahli-ahli YB mereka semasa berbahas di dewan. Ada sesetengah ahli YB ini sengaja menjadi tukang sampuk dan tukang sibuk jika ada sesetengan ahli dewan membahaskan sesuatu isu. ada kalangan mereka menjadi nampak emosi dan nampak sangat sesetangah mereka tidak professional malah kebudak-budakan.

Amaran yang diberikan oleh Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat patut diberikan kredit kerana berani membuat teguran khususnya kepada YB BN yang lebih banyak menampakkan sikap 'kurang ajar'. Seharusnya jika mereka benar-benar berhemah mereka lah sepatutnya yang menunjukkan sikap positif bukan cabar mencabar dan mengeluarkan kata-kata kesat yang tidak sepatutnya.

Ada lagi sikap yang tidak profesional apabila sanggup berbohong di dewan rakyat mengenai sesuatu isu, seperti nelayan mogok yang melibatkan isu harga minyak dan subsidi. Jika pihak persatuan nelayan mengatakan mereka mengadakan mogok kenapa pula YB menafikannya? Oleh itu wajarkah sebagai YB mereka berbohong!

Talipinggang Belakang Kenderaan Apa reaksi masyarakat

Asalamualaikum dan salam perpaduan

Sebagaimana semua tahu, mulai 1.1.09 satu undang-undang baru dikuatkuasakan khususnya bagi kenderaan persendirian. Mungkin pelbagai reaksi daripada orang ramai terhadap undang-undang baru ini. Walau bagaimanapun reaksi orang ramai yang disiarkan melalui media kerajaan rata-rata menyokong pelaksanaannya. Kalau ada pun responden yang membantah gambar mereka tidak akan disiarkan.

Saya mengikuti dengan amat teliti mengenai undang-undang ini. Sebagaimana dasar kerajaan yang lain, sebenarnya undang-undang ini mempunyai kaitan langsung dengan dasar kerajaan sedia ada, sebagai contoh dasar kependudukan negara, dasar otomotif negara dan dasar keluarga penyayang.

Saya bukan lah orang kaya, atau tergolong dalam orang senang. Saya berhadapan dengan masalah sekiranya saya membawa semua anak saya dalam sebuah kenderaan yang berjumlah enam orang. Disebabkan dua orang anak saya telah bekerja setelah menamatkan pengajian di universiti maka saya mempunyai empat orang yang perlu duduk dikerusi belakang. Masalahnya bagaimana saya hendak meninggalkan salah seorang anak saya di rumah disebabkan oleh kehendak undang-undang menghad penumpang belakang hanya kepad tiga orang. Sudah tentu saya akan menghadapi dilema dengan karenah anak saya berkenaan. Kedua, jika saya membawa keempat anak-anak saya duduk dibelakang saya akan berhadapan dengan denda maksima RM 300. Bagi orang kaya seperti kebanyakan penyokong dan kontraktor BN dan UMNO mereka tidak mempunyai masalah kerana mereka banyak opsyen lain seperti membeli kenderaan besar jenis MPV dan sebagainya.

Soalannya, berapa ramaikah rakyat yang menghadapi masalah serupa dengan saya di luar sana, apakah mereka mempunyai pilihan kearah undang-undang yang membebankan rakyat ini. Justeru dimana keprihatinan kerajaan keatas rakyat, apatah lagi kepada golongan yang kurang berkemampuan seperti saya, adakah kerajaan mempunyai opsyen untuk memberi harga subsidi yang betul-betul dapat membantu golongan seperti ini. Atau kerajaan hanya prihatin kepada golongan kaya semata-mata. mari kita renungkan...

Politik Kampung dan Etika Politik

Suatu pagi saya keluar minum di sebuah kedai kopi di pekan Sipitang kebetulan saya sedang bercuti, kedai ini yang begitu popular bagi semua orang adalah bukan kerana hiasan kedai nya yang cantik atau kerana pelayannya yang genit, tetapi hidangan pau atau bun warisan keluarga yang diwarisi daripada beberapa keturunan. Tidak susah untuk meneka kedai kopi ini di pekan Sipitang.

Disebabkan pau dan bun pansnya, antara jam sembilan dan sepuluh pagi sukar untuk mendapat tempat duduk. Disebabkan tidak ada tempat duduk, saya mencari-cari kalau-kalau ada rakan yang mahu berkongsi meja untuk pagi berkenaan. Setelah meninjau-ninjau tidak ada meja yang kosong, kecuali sebuah meja yang hanya dengan seorang tua dari suku Lundaya. Beliau lantas mengangkt tangan mempelawa saya duduk bersamanya dengan seorang lagi rakan.

Beliau menceritakan penglibatan dan pengalaman politik beliau seawal USNO berkuasa iaitu awal 60an. Salah satu ungkapan beliau antara lain " pollitik dan orang politik waktu itu umpama paku lima inci" Saya tersentak dengan ungkapan berkenaan. Namun setelah menjelaskan apa yang beliau maksudkan adalah apa yang diminta oleh rakyat akan dipenuhi dan dijanji pemimpin pasti akan ditunaikan. Seingat saya USNO waktu itu tidak ada cabang seperti pemuda, wanita puteri atau putera. Kalau ada pun mungkin sehingga ke cabang pemuda dan wanita sahaja. Beliau menambah orang politik ketika ini berlainan dengan era berkenaan. Waktu ini pemimpin berjanji apa sahaja kepada rakyat sama ada sebagai pemimpin utama atau pemimpin bahagian. Tetapi yang ditunai belum tentu.

Saya teringat kata-kata seorang pensyarah saya semasa di universiti dahulu mengenai etika politik. Sebenarnya etika politik telah wujud seiring dengan perkembangan politik dunia. Baca sahaja buku-buku tulisan Plato, Socrates, dan tidak kurang juga daripada Ibn Khaldun dengan bukunya Mukaddimah. Namun dalam mengekalkan kekuasaan masih ada kah para politikus di negara ini khususnya di Sabah yang tahu tentang nya, malah saya berani mengatakan bahawa tujuan mereka berpolitik lebih kepada mengisi poket sendiri berbanding memperjuangkan kesejahteraan rakyat dan kepentingan negara. Malah saya berani berkata pemimpin politik di peringkat bahagian ada antara mereka hanya lulus setakat SPM pangkat 3 dan tidak membaca buku.

Jika ini berlaku apa akan jadi jika mereka memimpin negara. Seperti kata Dr Mahathir yang disebut sebagai teori hantu suatu ketika dahulu, iaitu negera akan dijajah kembali. Tak peduli lah penjajahan jenis apa sama ada penjajahan minda, ekonomi malah tidak mustahil penjajahan fizikal.

Cuba fikir.....

Friday, January 2, 2009

Sembelih Palestin: Dimana OIC

Persengketaan antara negara Arab khususnya Palestine dengan Israel sebuah negara Yahudi ciptaan barat sekali lagi mewarnai penutup tahun 2008 dan pembukaan 2009. Setelah sekian lama rakyat Palestine dibunuh dan dianiya oleh bangsa Yahudi, pembelaan hanya dengan tunjuk perasaan dan bakar bendera sama ada bendera negara Yahudi Israel atau 'stripe and star' Amerika.

Sejak berpuluh tahun itu sahaja lah yang dapat dilakukan oleh penduduk negara Islam. Oh I See ( OIC ) hanya sebuah pertubuhan negara Islam yang wujud pada nama sahaja tetapi lemah dari segi tindakan apatah lagi perjuangan. Sejak sekian lama OIC hanya menyaksikan pembunuhan yang berterusan tanpa dapat berbuat apa-apa.

Sebenarnya dalam teori ketenteraan setiap kali konflik atau perang meletus, dan setiap kali nyawa rakyat dan harta benda terkorban, ada pihak yang mendapat keuntungan khhususnya pembuat senjata, pelobi di parlimen, industri tentera, dan para ahli politik di negara Amerika.

Dalam 'Military Industrial Complex' atau kompleks induistri tentera, perang yang melibatkan penggunaan kekerasan dan senjata ramai perancang, strategist, ahli akademik, ahli politik dan industrialist terlibat. Tanpa perang yang dicetuskan atau tanpa krisis yang dicipta, kalangan ini akan menggangur dan boleh jatuh bengkrap, itulah natijahnya.

Barangkali itulah yang menjadikan rakyat Palestine menjadi bahan ujikaji dan barang sembelihan oleh pihak yang berkepentingan. Yang mendapat untung adalah negara dan rakyat yang menjual kelengkapan tentera termasuk bom, peluru dan peralatan tentera yang lain.

Disebelah sini khususnya negara-negara OIC, hanya sekadar berpeluk tubuh dan berkempen untuk pengekalan kuasa memerintah. Justru sampai bila kita akan terus menyaksikan nyawa diragut tanpa peri kemanusiaan. Setakat doa, kutuk dan tunjuk perasaan di jalanraya tidak akan mendatangkan kesan kepada negara kurang ajar berkenaan. Jadi apa tindakan yang perlu dilakukan dari sudut ekonomi, sosial, politik dan diplomatik bagi sesebuah negara yang mempunyai kuasa? Sama-sama kita fikirkan!

Thursday, January 1, 2009

Teori Elit Dalam UMNO

Kurang tiga bulan lagi UMNO akan bertukar kepimpinan apabila DSAAB ( Dato Seri Abdullah Ahmad Badawi) melepaskan jawatan sebagai presiden dan DSNTR ( Dato Seri Najib Tun Razak ) mengambil alih jawatan sebagai Presiden UMNO. Perubahan juga berlaku bagi jawatan Timbalan Presiden UMNO apabila tiga calon telah layak untuk bertanding.

Jawatan nombor satu dan dua, adalah bakal memegang jawatan Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri. Bagitu juga seperti banyak bahagian-bahagian UMNO di seluruh negara (Kecuali Sarawak) telah mengadakan pemilihan dan terdapat juga sesetengah bahagian yang berlaku perubahan kepimpinan.

Sepanjang pemerhatian saya dalam proses pemilihan UMNO, lebih-lebih lagi setelah UMNO bertapak di Sabah, jawatan utama bahagian, baik dalam wanita, pemuda dan kini puteri, mereka yang memegang jawatan adalah kalangan yang elit dalam parti dan memegang pelbagai jawatan lain sama ada dalam politik mahupun dalam pentadbiran.

Anggapan bahawa berada dalam kumpulan elit parti berpeluang untuk menjadi calon dalam pilihan raya, dilantik dalam pelbagai kedudukan politik atau mendapat projek-projek kerajaan adalah senario biasa dalam politik lebih-lebih lagi UMNO. Amat jarang kita dengan seseorang yang berpengalaman dalam pentadbiran kerajaan diangkat menjadi calon dalam pilihan raya semata-mata untuk kepentingan rakyat. Yang biasa adalah kalangan mereka yang telah berulang-ulang memegang jawatan dan dipilih kembali sebagai calon meskipun sepanjang tempoh perkhidmatan sebelumnya sebagai wakil rakyat kurang menyerlah.

Keadaan ini adalah biasa dalam politik Malaysia. Kini timbul pula politik anak beranak dan saudara mara, yakni jika bapa memegang jawatan di bahagian, anak atau menantu juga akan memegang jawatan sama ada melalui pertandingan atau tanpa pertandingan (konon menang tanpa bertanding) termasuklah semua cabang UMNO seperti pemuda, wanita, puteri atau putera UMNO. Senario ini memang agak ramai dalam UMNO khususnya di Sabah.

Keadaan ini sebut sahaja nama sama ada pernah memegang jawatan sebagai ketua menteri, timbalan ketua menteri atau kabinet Sabah khususnya dari kaum bumiputra. Seingat saya, sehingga kini hanya Datuk Harris Salleh yang tidak ada waris dalam politik utama negeri sama ada semasa beliau dalam politik atau selepas beliau bersara daripada politik.

Jika ini berlaku dimana golongan marhaein diletakkan dalam politik yang bebas?