Saturday, January 17, 2009

KEPUTUSAN PRK KT

Keputusan PRK KT telah diumumkan oleh pengurus pilihan raya bagi parlimen KT dan disiarkan melalui televisyen sekitar jam 9.55 malam. Sepenti jangkaan awal saya UMNO-BN menghadapi situasi sukar bagi memenangi pilihan raya kecil ini.

Melalui hebahan yang disiarkan melalui televisyen, ternyata tekaan saya betul apabila BN UMNO gagal memenangi kawasan parlimen Kuala Terengganu. Kurang pasti apa pula alasan pihak yang kalah selepas ini khususnya UMNO untuk menjelaskan kepada penyokong-penyokong mereka. Walau pun kekalahan ini tidak membawa erti yang banyak kepada parti yang memerintah iaitu BN tetapi ia akan membawa kesan jangka panjang kepada UMNO sekurang-kurangnya sehingga pilihan raya ke 13 nanti.

UMNO masih kurang memahami hati nurani rakyat yang mahukan perubahan. Natijahnya ini lah yang terjadi apabila parti yang merasakan mereka terlalu perkasa dan hanya mereka yang tahu memerintah negara dan memberikan segala-galanya kepada rakyat. Yang menghakimi bukan orang lain tetapi rakyat sendiri khususnya para pengundi. Rakyat telah memberi isyarat sejak beberapa bulan lalu bahawa mereka mahukan pemimpin yang dapat dipercayai membantu mereka dan berkhidmat dengan ikhlas untuk kepentingan rakyat.

Kesilapan memilih calon nampaknya masih berulang di kem UMNO dan BN. Kesilapan ini jika diulangi di masa depan walau apa jua jenis pilihan raya pasti akan mempercepatkan UMNO dan kerabat lain dalam BN untuk menjadi sebagai pembangkang di parlimen.

Kalangan pemimpin UMNO hari ni tidak mahu mengakui bahawa rakyat telah bijak, dan dalam masa yang sama mereka juga tidak mahu mengakui bahawa kalangan pemimpin dalam UMNO sendiri telah menjadi paku berkarat yang bila-bila masa akan membawa keruntuhan kepada parti. Saya amat yakin bahawa nafas UMNO dan BN semakin semput maka dalam keadaan ini tidak ada bantuan pernafasan yang boleh memanjangkan hayatnya, maka yang perlu ditunggu hanya masa untuk menghembuskan nafas terakhir. Kalangan yang mempunyai kepentingan dengan UMNO mereka masih lagi berpegang kepada-UMNO kini dan selamanya. yang selamanya adalah nama namun perjuangannya telah hampir berakhir!

Sama-sama kita lihat.

No comments:

Post a Comment