Tuesday, November 10, 2009

IMPIAN, HASRAT, DAN KEINGINAN SAYA

Setiap orang mempunyai impian, hasrat dan keinginan. Dalam hal ini saya juga tidak terkecuali, meskipun saya bukan seorang pemimpin yang mempunyai kuasa dan pengikut. Yang ada pada saya hanyalah sedikit bakat dan kebolehan bagi membantu bangsa saya supaya bangsa saya setanding dengan bangsa lain, yang telah lebih lama mendahului kita dalam pelbagai bidang termasuk pendidikan, perniagaan, perkhidmatan awam dan sebagainya.

Apabila kita mempunyai kekuatan dalam aspek-aspek diatas, kita boleh memainkan peranan aktif dan membantu anak bangsa kita supaya dapat menikmati apa yang disediakan oleh pihak kerajaan. Setakat ini, kalangan bangsa Kedayan yang berjaya dalam pelbagai bidang boleh dikira dengan jari, walaupun kejayaan itu mempunyai makna yang luas. Namun kita juga perlu memperluaskan kemahiran anak bangsa kita supaya kita tidak terus ketinggalan.

Kesedaran harus dipupuk dan dijana supaya kita sentiasa peka dengan kehendak persekitaran dan menyesuaikan diri dengan segala perubahan. Motivasi yang berterusan harus terus menerus diberikan kepada anak-anak dari peringkat awal persekolahan supaya mereka dapat terus bersaing bermula dari dalam bilik darjah hatta ke peringkat nasional.

Apa yang membimbangkan saya adalah ketidak upayaan anak-anak kaum ini untuk persaing lebih jauh,ramai ibu bapa tidak memperdulikan perkembangan pelajaran anak-anak, malah tidak ada satu perancangan oleh komuniti ini baik secara bersendirian mahupun kolektif memastikan kemajuan bangsa.

Saya sungguh tertarik dengan tindakan sebuah sekolah rendah di daerah Sipitang yang berhasrat melahirkan 2 graduan dalam satu keluarga yang diilhamkan oleh guru besar sekolah berkenaan hanya dengan bermula daripada penghayatan sebuah ceramah yang disampaikan oleh bekas penuntut sekolah berkenaan.

Dengan kesedaran demikian, sekurang-kurangnya telah ada kesedaran di pihak sekolah. Namun pihak sekolah tidak boleh hasrat berkenaan dibiarkan sahaja dalam bentuk dokumen, sebaliknya ada pengisian yang berterusan selain 'follow up' dan 'follow through' dari semasa ke semasa. Penilaian harus dibuat secara berkala bagi mengikuti perkembangan dan pencapaian penuntut.

Masalahnya bagaimana dengan sekolah lain dari Kg Bukau ke Sindumin yang majoritinya adalah suku Kedayan. Apakah pimpinan politik hanya memandang perkara ini sebelah mata, kerana takut kedudukan akan tergugat apabila terlalu ramai lahir para graduan nanti.? JIka perkara sedemikian tidak diambil ia sama seperti menanam sepohon pokok yang dibiarkan tanpa dijaga, yang akhirnya pokok akan terus ketinggalan kerana dimakan dedalu dan kahirnya mati atau tidak kemana.

Saya amat sedih apabila melihat suku Kedayan amat jauh tertinggal berbanding dengan suku kaum lain seperti Brunei, Bisaya, Bajau, hatta suku Lundaye. Suku Kedayan tidak lagi melahirkan tokoh-tokoh dari bidang perubatan, ahli akademik, pemikir dan sebagainya. Seperti yang saya kata tadi jika ada pun hanya dua tiga kerat dan lebih malang sekali golongan ini tidak mahu menyumbang balik kepada masyarakat kelahiran mereka. Mereka seperti enau, mereka seperti kacang, apatah lagi sesudah mereka bergelar pegawai tinggi kerajaan. Balik ke kampung mesti disanjung seperti YB pada hal mereka adalah produk masyarakat Kedayan dan mereka harus kembali menyumbang bakti kepada masyarakat. Sekurang-kurangnya menjadi 'role model' kepada masyarakat mereka.

Saya ingin benar melihat satu seminar secara holistik diadakan bagi mencari jalan dan memikir dan menilai dimana dan kemana kedudukan suku Kedayan ini berada sekarang dan pada dekad-dekad yang mendatang. Bagi mencapai hasrat ini, panggil lah walau hanya seorang yang berjawatan kerani jika itu lah jawatan yang tertinggi dipegang oleh seorang Kedayan dalam kerajaan.

Para ahli politik yang masih ada kuasa, bantulah masyarakat kamu supaya kaum ini dapat berdiri dengan megah disuatu hari nanti. Kepada mereka yang telah bergelar jutawan sumbanglah sedikit kekayaan anda bagi membantu saudara anda, bagi kalangan pemikir jika ada..rancanglah apa yang perlu dan dapat difikirkan untuk kebaikan bersama.

Itu adalah hasrat, impian dan cita-cita saya.

No comments:

Post a Comment