Tuesday, September 22, 2009

Gelaran Datuk Yang Dibeli dan Status Dr Yang Palsu

Gelaran Datuk ekspres (Dipetik daripada Utusan Malaysia)

KUALA LUMPUR 22 Sept. – Jabatan Peguam Negara diminta memutuskan sama ada ‘pembelian’ gelaran seperti Datuk dari luar negara atau ijazah doktor falsafah (PhD) ‘secara ekspres’ merupakan perbuatan jenayah atau sebaliknya.

Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, kegiatan membeli gelaran sosial semakin serius dan jika tidak ditangani, akan melahirkan satu generasi ‘ilmuwan palsu’.

Menurutnya, agensi kerajaan yang berkenaan perlu menilai dan merumuskan juga kaedah untuk menghalang perbuatan membeli gelaran sosial yang semakin menjadi-jadi.

Beliau memberitahu, pihak-pihak yang menggunakan gelaran palsu berkenaan harus disiasat dengan segera kerana mereka boleh ditafsir melakukan satu bentuk penipuan kepada masyarakat.

Tambahnya, perbuatan membeli gelaran sosial di negara ini sudah di tahap yang agak keterlaluan dan menjadikan budaya menipu di tahap paling tinggi serta memudaratkan masyarakat.

“Ada pemimpin muda memiliki ijazah PhD belian dan tidak diiktiraf, ini sangat serius, saya cadangkan mereka disiasat, perbuatan ini disifatkan menipu,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, baru-baru ini.

Malah, Rais berkata, sesetengah ahli masyarakat yang berstatus pemimpin juga dikesan membeli ‘PhD ekspres’.

Katanya, selain PhD, gelaran sosial lain seperti Datuk dan Datuk Seri boleh dibeli dari luar dengan mudah.

“Cuma Tan Sri yang belum ‘dikilangkan’ lagi,” katanya.

Kata beliau, budaya membeli gelaran sosial sudah berlarutan hampir satu dekad dan pembelian dari luar adalah lanjutan daripada sikap menjual gelaran yang sama di dalam negara.

“Semasa di Jabatan Perdana Menteri dahulu saya pernah tegur beberapa negeri, apabila dikaitkan dengan kuasa-kuasa luar Malaysia, ini adalah lanjutan kepada amalan terdahulu,” katanya.

Jelasnya, ada individu yang boleh menjadi Datuk secara tiba-tiba atau umpama dalam sekelip mata.

“Dahulu gelaran istana diberikan kepada yang berjasa kepada raja dan negara, sekarang nilai-nilai itu sudah berubah menjadi nilai buruk, gelaran-gelaran penting menjadi bahan dagangan,” katanya.

Kata beliau, seorang yang membawa gelaran Dr. dalam namanya melalui Phd sepatutnya seorang yang berilmu dan membuat pencapaian tinggi.

“Kecuali undang-undang berkaitan menyamar dapat digunakan, maka perkara ini (pembelian gelaran sosial) memerlukan satu pendekatan drastik untuk ditangani,” katanya.

GELARAN DATUK/DATO dan Doktor Falsafah (Ph.D)

Mungkin ramai yang tidak menyedari gejala ini semakin berluluasa dan semakin serius. Perkara ini berlaku adalah semata-mata ingin menguasai dunia populariti khususnya bagi mereka yang ingin bergiat dalam badan-badan NGO termasuk politik.

Ada antara mereka sanggup membeli gelaran Datuk termasuk dari negara luar seperti Filipina (yang tidak ada nilai langsung) semata-mata ingin meningkatkan status mereka(konon) dimata masyarakat. Saya besetuju dengan UTUSAN MALAYSIA agar perkara ini dapat dikaji dari sudut jenayah. Daripada pemerhatian saya kalangan mereka yang galak membeli dan mengejar gelaran ini adalah mereka yang berkemampuan dari segi kewangan.

Bagi gelaran (Dr) palsu yang sering digunakan oleh kalangan individu tertentu, perkara ini dipandang serius kerana ia akan memberi gambaran buruk kepada negara khususnya apabila kalangan individu mempromosi diri mereka dengan status kedoktoran mereka.

Perlu diingat bahawa untuk memperolehi gelaran kedoktoran, seseorang perlu memerah otak tidak kurang daripada tiga tahun untuk melengkapkan thesis melalui penyelidikan. Alangkan malang sekali apabila kalangan mereka yang bersusah payah memerah otak, tapi ada pula kalangan bersenang lenang dengan mudah menggunakan ststus berkenaan.

Sudah sampai masanya kerajaan mengkaji keadaan in agar ststus Dr palsu ini dapat dibersihkan.

No comments:

Post a Comment