Wednesday, July 22, 2009

Manchester United dan Bola Sepak Malaysia

Mungkin ramai peminat bola sepak Malaysia berasa lega dengan sedikit kejayaan yang ditampakkan oleh skuad bola sepak Kebangsaan yang hanya kalah tipis kepada sebuah pasukan kelab tersohor England, Manchester United dalam dua perlawanan persahabatan beberapa hari lalu. Bagi peneraju bola sepak Malaysia, malah sebilangan besar rakyat, itu telah memberi isyarat bahawa pasukan kebangsaan Malaysia telah pulih dan bangun daripada mimpi indah!

Saya bukan mahu mempersoalkan kebangkitan Malaysia dalam siri perlawanan persahabatan antara skuad bolasepak kebangsaan dengan Manchester United berkenaan. Yang perlu dipersoalkan adalah, adakah seluruh pemain Manchester United telah mengerahkan sepenuh tenaga dan keringat mereka untuk mengekang kekuatan skuad negara dalam perlawanan berkenaan, atau hanya sekadar memuaskan hati para pemain skuad kebangsaan dan peminat mereka di Malaysia.

Yang saya pasti adalah, pasukan berkenaan hanya mempamerkan tidak lebih daripada 60-65% keupayaan sebenar mereka dengan mengambil beberapa faktor antaranya mengelakkan kecederaan pemain, ketiadaan penyerang berbisa semasa menjulang piala liga, seperti Carlos Tavis dan Cristiano Ronaldo yang telah berhijrah. Disamping itu tidak ada untungnya jika mereka menang besar keatas pasukan Malaysia pun, mereka hanya makan angin ke rantau Asia. Dalam pada itu adakah semangat bermain dan melawan pasukan mereka masih sama semasa mereka mengejar mata dalam liga perdana Inggeris semasa melawan pasukan kebangsaan?

Tetapi seperti biasa naluri dan mentaliti kebanyakan rakyat Malaysia, mereka mudah berpuas hati dengan yang telah digula-gulakan oleh pihak lawan, mudah berpuas hati dengan yang sedikit, dan tidak membuat analisis secara saintifik, kritikal dan analogical kepada perkara-perkara yang dialami, keadaan ini menjadikan mereka mudah berpuas hati meskipun ditipu secara terang-terangan. Natijahnya itu adalah hasil daripada sistem pendidikan negara yang kita banggakan selama ini, iaitu berfikir hanya secara mendatar dan menerima apa saja yang diberikan tanpa banyak soal.

No comments:

Post a Comment