Wednesday, December 24, 2008

Pilihan Raya Kecil Kuala Trengganu

Tahun 2008 akan melabuh tirai, dan tahun 2009 akan menjelma. Politik Malaysia sekali lagi akan bergema melalui pilihan raya kecil parlimen Kuala Trengganu. BN akan diwakili oleh UMNO manakala PR hampir pasti mengemukakan calon daripada PAS.

Apapun persoalannya, begitulah keadaan negara ini, apabila aktiviti politik melebihi aktiviti lain. Malaysia memang aktif berpolitik dan sepanjang tempoh sesuatu penggal parlimen, banyak aktiviti politik antaranya pemilihan dalaman parti bermula dari cawangan hingga kepada peringkat nasional. Manakala peringkat luaran termasuklah pilihan raya umum dan pilihan raya kecil. Setiap kali berlaku pilihan raya sama ada dalaman parti atau luaran parti sudah pasti akan memakan kos dan kos ini kadang-kadang melebihi daripada yang sepatutnya. Antara aktiviti yang menanggung kos termasuklah lobi-melobi oleh calon ataupun wakil calon. Sejak PRU ke 12 lalu telah beberapa kali pilihan raya kecil diadakan sama ada atas keputusan pembatalan oleh mahkamah pilihan raya, calon meninggal dunia atau pengunduran calon sedia ada. Natijahnya itu lah keadaan politik Malaysia.

Dengan lebih ber'politiking' di kalangan rakyat, rakyat hampir tidak ada masa langsung untuk memajukan bangsa. Apakah kita berada di landasan yang betul untuk menjadi sebagai sebuah negara maju menjelang tahun 2020 yang tinggal sekitar sebelas tahun lagi. Politik memang sebahagian daripada kehdupan manusia, namun berpolitik secara berlebihan, akan membawa kesan yang kurang baik.

Adakah Melayu berpuas hati dengan apa yang dicapai sekarang berbanding dengan kemajuan kaum lain. Manakala ahli-ahli politik memang tugas mereka untuk berpolitik termasuk menimbulkan isu-isu sensitif yang memang senang mendapat reaksi dariapda rakyat. Dan sesetengah ahli politik menimbulkan isu sensitif merupakan modal jangka panjang mereka. Tetapi adakah mereka terfikir setiap kali isu sensitif ditimbulkan negara terpaksa menanggung kos untuk menstabilkan masyarakat.

Lebih menyedihkan, sesetengah ahli politik tidak langsung berpegang kepada etika politik. Bayangkanlah apa akan jadi sekiranya ahli politik terus menerus mencaturkan negara demi survival politik mereka semata-mata. Renungkan.. dimana negara kita tahun 2020 nanti.

No comments:

Post a Comment