Wednesday, April 22, 2009

BN dibawah era N (RAHMAN)

Telah lengkap RAHMAN apabila DS Najib mengambil alih kepimpinan UMNO. Maka pelbagai teori atau andaian pula selepas ini akan dibuat atau diramal. Natijahnya DSN membawa dan mengemudi negara dalam suasana yang cukup mencabar sama ada dalam negara sendiri dan suasana ekonomi dunia yang berhadapan dengan situasi ekonomi paling buruk sejak perang dunia kedua.

Dalam negara semua maklum bahawa terlalu banyak politiking berlaku sama ada dalam parti komponen sendiri termasuk UMNO dan tidak juga dilupa bahawa BN berhadapan cabaran getir daripada PR. Pilihanraya kecil ke satu lagi pilihanraya kecil menampakkan bahawa BN berhadapan dengan sokongan rakyat yang semakin berkurangan. Buktinya kesemua pilihanraya kecil baik kerusi parlimen atau kerusi negeri PR menyapu habis kecuali di Sarawak pembangkang hanyut di Batang Air (Batang Ai). Yang lain termasuk di kuala, di bukit habis dikuasai oleh PR.

Dalam kemungkinan pertembungan BN-PR adalah di Pulau Pinang. Namun awal-awal lagi BN semacam mengaku kalah kepada kekuatan PR. Kalau dalam pilihanraya lalu BN bersemangat untuk menawan dan seumpamanya, kini sedikit berbeza apabila membayangkan akan memberi kemenangan percuma kepada PR - tak perlulah pelbagai alasan diberikan, yang nyata bayang kekalahan BN amat nyata.

Semua ini adalah kerana kesilapan yang ditimbun daripada bilangan tahun berkuasa. Nyata rakyat telah mula memberi respons dan isyarat kepada pemimpin BN bahawa rakyat tanpa mengira asal usul telah cuba memberi pengajaran kepada BN dan pemimpinnya. Sedihnya dalam UMNO sendiri masih ramai kalangan ketua bahagian yang telah dibuang oleh rakyat jelata tetapi masih disayangi oleh pemimpin dek kerana pandai membodek. Tetapi harus juga bersyukur ada kalangan mereka dibuang oleh mahkamah. Ini bukti bahawa mereka adalah pemimpin yang rakus.

Saya percaya ramai di kalangan pemimpin BN khususnya UMNO sendiri terdiri daripada bekas-bekas pegawai kerajaan termasuk golongan pendidik menjadi ketua bahagian, ahli parlimen, menteri, timbalan menteri dan sebagainya. Tetapi, kebolehan mereka memimpin rakyat, iltizam mereka memajukan rakyat amat miskin. Pencapaian pendidikan dan keputusan pemeriksaan anak-anak bangsa di kawasan mereka amat buruk, apakah mereka tidak lagi kenal dengan rakan sejawat mereka dan menggunakan pengaruh dan kepimpinan mereka untuk kebaikan anak bangsa di kawasan mereka.

Kini BN dan lebih tepat lagi UMNO adalah ibarat sebuah kapal yang belayar ditengah lautan dan terumbang ambing kerana majoriti anak kapal nya mempunyai kepentingan sendiri. Silap perkiraan akan tenggelam bersama sejarah. Siapa yang silap jika itu berlaku....kita sendiri orang melayu.

No comments:

Post a Comment