Monday, September 7, 2009

Mahu Popular Dan Jadi Hero Di Gelenggang Yang Salah

Saya bukan tidak simpati dengan keluarga mendiang Mariam yang meninggal dunia di Korea Selatan, yang dengar khabarnya akan dibantu oleh barisan Pemuda UMNO Johor. Persoalannya mengapa perlu membawa balik mayat mendiang ke Malaysia, beliau bukan beragama islam dan dalam erti kata lain mendiang telah murtad.

Saya kurang faham mengapa pemuda UMNO Johor sanggup melakukan perkara berkenaan tanpa memahami mana yang wajib dan mana yang haram. Namun apa yang saya faham adalah ia berkait rapat dengan tindakan mahu popular dan mau jadi hero kampung.

Sebenarnya tidak ada faedahnya langsung membawa balik mayat mendiang, yang terang-terang telah murtad, malah mahu dikebumikan dalam upacara Kristian. Bayangkan apa akan berlaku sekiranya tindakan itu kelak membawa persengketaan yang tidak undang, bukan sahaja kepada rakyat malah akan mengakibatkan campurtangan pihak luar.

Kepada pihak yang berkenaan, ikutlah nasihat penasihat agama dato Nooh gadut.

Kepada pihak terlibat, jika nak jadi hero pun cari lah tempat yang sesuai.

Monday, August 10, 2009

ISA - Demonstrasi : Pro dan Anti, Mengapa?

Lewat minggu lalu terdapat dua kumpulan membuat demonstrasi menyatakan pendirian masing-masing mengenai Akta Keselamatan Dalam Negeri. Satu kumpulan menentang akta ini manakala satu kumpulan lain menyokong dan mahu supaya akta ini dikekalkan. masing-masing kumpulan mempunyai alasan tersendiri mengapa mereka turun ke gelangang umum untuk menyatakan pendirian mereka. Yang pasti satu kumpulan adalah di label daripada parti pembangkang, dan sudah tentu mereka dilabel sebagai pengacau oleh pelbagai pihak termasuk media, manakala satu kumpulan lain yang pro pula nampaknya kurang mendapat liputan dan seolah-olah mereka dipihak yang benar dan tindakan mereka dilihat sebagai halal, atau sah disisi undang-undang.

Soalnya mengapa mereka menyatakan pendirian mereka melalui demonstrasi, dan apakah alasan mereka berbuat demikian. Sebenarnya pada hemat saya mereka ini sebaghagian besar daripada mereka adalah golongan yang tidak tahu latar belakang dan asal-usul akta ini.

Jika kita faham asal-usul serta tujuan akta ini digubal dan cara pelaksanaannya yang agak zalim, maka sudah pasti sebahagian rakyat Malaysia yang rasional pemikirannya akan menyatakan pendirian mereka dengan jelas.

Walau bagaimanapun, pada hari ini, akta ini digunakan sebagai modal politik dan tools politik untuk memperkukuhkan kedudukan dan cengkaman kepada musuh-musuh politik. Ops lalang yang pernah dilakukan tahun 80an semasa era TM suatu ketika dahulu adalah salah satu daripada penyimpangan daripada tujuan asal akta ini digubal.

Kemudian dalam tahun 1990an apabila pegawai kerajaan yang diberikan tanggungjawab untuk mengeluar pengenalan diri ditangkap dibawah akta yang sama, juga menambahkan lagi penyimpangan jauh akta ini daripada tujuan asal penggubalannya.

Yang lebih menyedihkan golongan ini adalah golongan yang tidak berdaya dan mereka merupakan golongan diperalatkan oleh pemerintah elit untuk kepentingan kuasa ,khususnya di Sabah yang ketika itu dikuasai oleh PBS yang keluar daripada BN dan menentang BN bersama Semangat 46. Kekalahan BN di Sabah menjejaskan kredibiliti BN dan bermulanya UMNO ke Sabah. Sebagai cara paling mudah adalah memperbanyakkan pengundi islam di semua adun di Sabah dengan mengeluarkan kad pengenalan projek kepada pendatang Indonesia dan Filipina beragama islam. Hasilnya UMNO dapat 23 kerusi manakala PBS25. Hasil daripada kekuatan BN dan UMNO pada masa itu PBS tumbang hanya setelah dua bulan memerintah. Bermulalah cengkaman UMNO di Sabah.

Kekhuatiran PBS masih berpotensi untuk berkuasa pemerintah melaksanakan fasa kedua melalui persempadanan semula atau 'jerry mandering'.

Natijahnya ISA digunakan keatas pegawai kerajaan iaitu pegawai pendaftaran negara di semua daerah. Soalnya adakah akta ini digunakan dengan adil dan menurut asal usul penggubalannya?

Perlukah akta ini dipinda atau dibatalkan? Apakah pendirian anda? Fikirkan sendiri.


Parti dan Tong Sampah

Kebanyakan bahagian-bahagian UMNO di Sabah telah selesai mengadakan perhimpunan khas bagi memilih wakil ke persidangan khas yang bakal diadakan sekitar bulan November nanti. Sebagai parti tertua sudah pasti UMNO sebagai tulang belakang BN harus mencari dan memperkuatkan pengaruh setelah begitu teruk kalah dalam beberapa siri pilihanraya kecil pasca pru12 lalu.

Presiden parti membuat pesanan agar semua ahli waima termasuk presiden sendiri mengambil pendekatan yang boleh menarik massa menyukai UMNO, supaya boleh terus memerintah. Pendekatan 'strategi Pekan' telah dijual dan dicanangkan kepada ahli dalam ucapan beliau semasa merasmikan mesyuarat khas UMNO di bahagian beliau.

Masalahnya setakat mana idea itu akan diterima oleh ahli UMNO, dan kemungkinan ahli khususnya akar umbi hanya masuk telinga kiri dan keluar telinga kanan. ini kerana mungkin bagi sesetengah orang UMNO tidak penting, yang penting adalah jawatandan bagaimana untuk menang dan terus berkuasa dalam parti.

Barisan muda seperti putera, puteri, dan pemuda, khususnya yang berjawatan dalam sayap itu yang penting bagi mereka adalah mendapat habuan dalam bentuk projek untuk mengaut sebanyak mana lagi mereka boleh menambah kekayaan. Kekayaan bertambah sokongan juga boleh bertambah kerana undi boleh dibeli, yang penting mesti pandai berstrategi.

Jika itu terus berlaku, UMNO umpama tong sampah yang hanya memuat dan menerima sampah sampah termasuk yang telah busuk, sampai masa rakyat akan buang kedalam tong sampah. Kita tunggu lagi 3 tahun bagaimana kesudahanya. Selamat bersidang.

Wednesday, July 22, 2009

Manchester United dan Bola Sepak Malaysia

Mungkin ramai peminat bola sepak Malaysia berasa lega dengan sedikit kejayaan yang ditampakkan oleh skuad bola sepak Kebangsaan yang hanya kalah tipis kepada sebuah pasukan kelab tersohor England, Manchester United dalam dua perlawanan persahabatan beberapa hari lalu. Bagi peneraju bola sepak Malaysia, malah sebilangan besar rakyat, itu telah memberi isyarat bahawa pasukan kebangsaan Malaysia telah pulih dan bangun daripada mimpi indah!

Saya bukan mahu mempersoalkan kebangkitan Malaysia dalam siri perlawanan persahabatan antara skuad bolasepak kebangsaan dengan Manchester United berkenaan. Yang perlu dipersoalkan adalah, adakah seluruh pemain Manchester United telah mengerahkan sepenuh tenaga dan keringat mereka untuk mengekang kekuatan skuad negara dalam perlawanan berkenaan, atau hanya sekadar memuaskan hati para pemain skuad kebangsaan dan peminat mereka di Malaysia.

Yang saya pasti adalah, pasukan berkenaan hanya mempamerkan tidak lebih daripada 60-65% keupayaan sebenar mereka dengan mengambil beberapa faktor antaranya mengelakkan kecederaan pemain, ketiadaan penyerang berbisa semasa menjulang piala liga, seperti Carlos Tavis dan Cristiano Ronaldo yang telah berhijrah. Disamping itu tidak ada untungnya jika mereka menang besar keatas pasukan Malaysia pun, mereka hanya makan angin ke rantau Asia. Dalam pada itu adakah semangat bermain dan melawan pasukan mereka masih sama semasa mereka mengejar mata dalam liga perdana Inggeris semasa melawan pasukan kebangsaan?

Tetapi seperti biasa naluri dan mentaliti kebanyakan rakyat Malaysia, mereka mudah berpuas hati dengan yang telah digula-gulakan oleh pihak lawan, mudah berpuas hati dengan yang sedikit, dan tidak membuat analisis secara saintifik, kritikal dan analogical kepada perkara-perkara yang dialami, keadaan ini menjadikan mereka mudah berpuas hati meskipun ditipu secara terang-terangan. Natijahnya itu adalah hasil daripada sistem pendidikan negara yang kita banggakan selama ini, iaitu berfikir hanya secara mendatar dan menerima apa saja yang diberikan tanpa banyak soal.

Friday, July 17, 2009

Guru Boleh Berpolitik

Cadangan sesetengah pihak membenarkan puak guru dibenarkan aktif berpolitik menarik untuk dibincang. Cadangan berkenaan perlu kajian terperinci dan perlu pindaan sesetengah undang-undang dan peraturan terutama sekali kalangan guru yang berada di gred DG41. Selama ini puak guru telah aktif berpolitik terutama sekali kalangan gred DG 27 hingga DG 36.

Tugas guru sebenarnya adalah mendidik anak bangsa. Perkara ini semua orang tahu. Jika guru aktif berpolitik tidak kah akan terjejas tangggungjawab mengajar anak bangsa? Bagaimana pula kesan hubungan dengan politik nanti sekiranya berlaku pergeseran dengan pihak pentadbir sekolah?

Tidak kah gred lain juga akan meminta layanan yang sama untuk aktif berpolitik? Dalam keadaan terkini semua orang faham mengapa guru-guru diberi lampu hijau. Antaranya kalangan guru adalah antara kakitangan kerajaan paling ramai. Umno perlu mengambil peluang untuk menarik sokongan golongan ini sebelum terlepas kepada kumpulan lain.

Sebelum ini ada kalangan dalam UMNO sendiri menyalahkan DSAI kerana kononnya DSAI yang membina landasan supaya guru dibenarkan aktif dalam politik. Tetapi bagaimana kini?

PRK MANIK URAI TERURAI

Tahniah kepada calon PAS yang telah menang di Manik Urai. Kekebalan PAS masih utuh sebagaimana saya jangkakan meski UMNO BN telah menyerang Manik Urai dengan bala tentera yang cukup ramai. Kesetiaan penyokong PAS telah sekali lagi mengecewakan UMNO di Kelantan amnya dan UMNO pusat khasnya.

Tapi kekalahan 65 undi menjadikan UMNO galak kononnya parti itu telah kembali diterima oleh rakyat berbanding PRU 12 lalu. Perlu diketahui bahawa UMNO BN telah mengerahkan seluruh tenaga, kudrat dan keupayaan sayap politik dan kewangan semaksimanya, sebab itu membolehkan mereka mengurangkan majoriti ke tahap kurang 100.

Analogi saya senang. Jika kita berperang dengan musuh yang memiliki segala senjata terbaik, dan lawan setakat hanya tangan kosong disamping gigi dan lidah, maknanya kemenangan PAS layak di beri pujian kerana berjaya mengekalkan kemenangan. Tahniah PAS.

Friday, July 10, 2009

PRK Manik Urai UMNO vs PAS

Sekali lagi PRK terpaksa diadakan tetapi kali ini dengan sebab yang tak dapat dielakkan disebabkan kematian penyandang. Seperti dijangka pertembungan antara UMNO-PAS adalah bagai sudah ditetapkan. Musuh tradisi antara dua parti Melayu.

Ada beberapa isu yang menarik mengenai PRU kecil kali ini. Pertama ini adalah PRU yang julung kali diadakan setelah Dato Seri Najib Tun Razak memegang jawatan Presiden UMNO dan Perdana Menteri Malaysia. Kedua, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden UMNO. Ketiga setelah pemilihan UMNO., ini adalah gelenggang terbaik kepada semua kalangan UMNO yang terpilih memegang jawatan untuk mengukur penerimaan rakyat Kelantan khususnya di Manik Urai mengenai UMNO dan pemimpin-pemimpin nya yang baru memegang jawatan utama.

Di kem PAS pula sebagaimana UMNO, PAS juga baru sahaja selesai pemilihan pucuk pimpinan dalam muktamar lalu, seperti biasa alat tempur UMNO dan BN iaitu TV3 masih melaga-lagakan persengketaan kecil keluarga dalam parti berkenaan antara mursyidul am PAS Dato Nik Aziz dengan Nasharuddin Mat Isa disebabkan oleh kesediaan beliau membincngkan isu kerajaan perpaduan dengan UMNO.Kegagalan Timbalan Presiden PAS itu untuk berada di Manik Urai dijadikan salah satu berita dalam siaran berita.

Persoalannya, UMNO dan PAS bertembung dalam suasana aman sebagaimana dilaporkan dalam berita. Masing-masing parti akan melihat kemenangan yang diperolehi dijadikan isyarat oleh ahli parti masing-masing jika mereka menang. Namun bagaimana jika kalah? Dalam 'zero sum game' ini, saya masih melihat terdapat kesukaran di pihak pembangkang di Kelantan. Orang Kelantan memang terkenal dengan kebijakan mereka dalam memilih. Mungkin kali ini tugas UMNO hanya mengurangkan majoriti, tetapi bukan merebut kerusi. Sama-sama kita tunggu dan lihat.