Monday, August 10, 2009

Parti dan Tong Sampah

Kebanyakan bahagian-bahagian UMNO di Sabah telah selesai mengadakan perhimpunan khas bagi memilih wakil ke persidangan khas yang bakal diadakan sekitar bulan November nanti. Sebagai parti tertua sudah pasti UMNO sebagai tulang belakang BN harus mencari dan memperkuatkan pengaruh setelah begitu teruk kalah dalam beberapa siri pilihanraya kecil pasca pru12 lalu.

Presiden parti membuat pesanan agar semua ahli waima termasuk presiden sendiri mengambil pendekatan yang boleh menarik massa menyukai UMNO, supaya boleh terus memerintah. Pendekatan 'strategi Pekan' telah dijual dan dicanangkan kepada ahli dalam ucapan beliau semasa merasmikan mesyuarat khas UMNO di bahagian beliau.

Masalahnya setakat mana idea itu akan diterima oleh ahli UMNO, dan kemungkinan ahli khususnya akar umbi hanya masuk telinga kiri dan keluar telinga kanan. ini kerana mungkin bagi sesetengah orang UMNO tidak penting, yang penting adalah jawatandan bagaimana untuk menang dan terus berkuasa dalam parti.

Barisan muda seperti putera, puteri, dan pemuda, khususnya yang berjawatan dalam sayap itu yang penting bagi mereka adalah mendapat habuan dalam bentuk projek untuk mengaut sebanyak mana lagi mereka boleh menambah kekayaan. Kekayaan bertambah sokongan juga boleh bertambah kerana undi boleh dibeli, yang penting mesti pandai berstrategi.

Jika itu terus berlaku, UMNO umpama tong sampah yang hanya memuat dan menerima sampah sampah termasuk yang telah busuk, sampai masa rakyat akan buang kedalam tong sampah. Kita tunggu lagi 3 tahun bagaimana kesudahanya. Selamat bersidang.

Wednesday, July 22, 2009

Manchester United dan Bola Sepak Malaysia

Mungkin ramai peminat bola sepak Malaysia berasa lega dengan sedikit kejayaan yang ditampakkan oleh skuad bola sepak Kebangsaan yang hanya kalah tipis kepada sebuah pasukan kelab tersohor England, Manchester United dalam dua perlawanan persahabatan beberapa hari lalu. Bagi peneraju bola sepak Malaysia, malah sebilangan besar rakyat, itu telah memberi isyarat bahawa pasukan kebangsaan Malaysia telah pulih dan bangun daripada mimpi indah!

Saya bukan mahu mempersoalkan kebangkitan Malaysia dalam siri perlawanan persahabatan antara skuad bolasepak kebangsaan dengan Manchester United berkenaan. Yang perlu dipersoalkan adalah, adakah seluruh pemain Manchester United telah mengerahkan sepenuh tenaga dan keringat mereka untuk mengekang kekuatan skuad negara dalam perlawanan berkenaan, atau hanya sekadar memuaskan hati para pemain skuad kebangsaan dan peminat mereka di Malaysia.

Yang saya pasti adalah, pasukan berkenaan hanya mempamerkan tidak lebih daripada 60-65% keupayaan sebenar mereka dengan mengambil beberapa faktor antaranya mengelakkan kecederaan pemain, ketiadaan penyerang berbisa semasa menjulang piala liga, seperti Carlos Tavis dan Cristiano Ronaldo yang telah berhijrah. Disamping itu tidak ada untungnya jika mereka menang besar keatas pasukan Malaysia pun, mereka hanya makan angin ke rantau Asia. Dalam pada itu adakah semangat bermain dan melawan pasukan mereka masih sama semasa mereka mengejar mata dalam liga perdana Inggeris semasa melawan pasukan kebangsaan?

Tetapi seperti biasa naluri dan mentaliti kebanyakan rakyat Malaysia, mereka mudah berpuas hati dengan yang telah digula-gulakan oleh pihak lawan, mudah berpuas hati dengan yang sedikit, dan tidak membuat analisis secara saintifik, kritikal dan analogical kepada perkara-perkara yang dialami, keadaan ini menjadikan mereka mudah berpuas hati meskipun ditipu secara terang-terangan. Natijahnya itu adalah hasil daripada sistem pendidikan negara yang kita banggakan selama ini, iaitu berfikir hanya secara mendatar dan menerima apa saja yang diberikan tanpa banyak soal.

Friday, July 17, 2009

Guru Boleh Berpolitik

Cadangan sesetengah pihak membenarkan puak guru dibenarkan aktif berpolitik menarik untuk dibincang. Cadangan berkenaan perlu kajian terperinci dan perlu pindaan sesetengah undang-undang dan peraturan terutama sekali kalangan guru yang berada di gred DG41. Selama ini puak guru telah aktif berpolitik terutama sekali kalangan gred DG 27 hingga DG 36.

Tugas guru sebenarnya adalah mendidik anak bangsa. Perkara ini semua orang tahu. Jika guru aktif berpolitik tidak kah akan terjejas tangggungjawab mengajar anak bangsa? Bagaimana pula kesan hubungan dengan politik nanti sekiranya berlaku pergeseran dengan pihak pentadbir sekolah?

Tidak kah gred lain juga akan meminta layanan yang sama untuk aktif berpolitik? Dalam keadaan terkini semua orang faham mengapa guru-guru diberi lampu hijau. Antaranya kalangan guru adalah antara kakitangan kerajaan paling ramai. Umno perlu mengambil peluang untuk menarik sokongan golongan ini sebelum terlepas kepada kumpulan lain.

Sebelum ini ada kalangan dalam UMNO sendiri menyalahkan DSAI kerana kononnya DSAI yang membina landasan supaya guru dibenarkan aktif dalam politik. Tetapi bagaimana kini?

PRK MANIK URAI TERURAI

Tahniah kepada calon PAS yang telah menang di Manik Urai. Kekebalan PAS masih utuh sebagaimana saya jangkakan meski UMNO BN telah menyerang Manik Urai dengan bala tentera yang cukup ramai. Kesetiaan penyokong PAS telah sekali lagi mengecewakan UMNO di Kelantan amnya dan UMNO pusat khasnya.

Tapi kekalahan 65 undi menjadikan UMNO galak kononnya parti itu telah kembali diterima oleh rakyat berbanding PRU 12 lalu. Perlu diketahui bahawa UMNO BN telah mengerahkan seluruh tenaga, kudrat dan keupayaan sayap politik dan kewangan semaksimanya, sebab itu membolehkan mereka mengurangkan majoriti ke tahap kurang 100.

Analogi saya senang. Jika kita berperang dengan musuh yang memiliki segala senjata terbaik, dan lawan setakat hanya tangan kosong disamping gigi dan lidah, maknanya kemenangan PAS layak di beri pujian kerana berjaya mengekalkan kemenangan. Tahniah PAS.

Friday, July 10, 2009

PRK Manik Urai UMNO vs PAS

Sekali lagi PRK terpaksa diadakan tetapi kali ini dengan sebab yang tak dapat dielakkan disebabkan kematian penyandang. Seperti dijangka pertembungan antara UMNO-PAS adalah bagai sudah ditetapkan. Musuh tradisi antara dua parti Melayu.

Ada beberapa isu yang menarik mengenai PRU kecil kali ini. Pertama ini adalah PRU yang julung kali diadakan setelah Dato Seri Najib Tun Razak memegang jawatan Presiden UMNO dan Perdana Menteri Malaysia. Kedua, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden UMNO. Ketiga setelah pemilihan UMNO., ini adalah gelenggang terbaik kepada semua kalangan UMNO yang terpilih memegang jawatan untuk mengukur penerimaan rakyat Kelantan khususnya di Manik Urai mengenai UMNO dan pemimpin-pemimpin nya yang baru memegang jawatan utama.

Di kem PAS pula sebagaimana UMNO, PAS juga baru sahaja selesai pemilihan pucuk pimpinan dalam muktamar lalu, seperti biasa alat tempur UMNO dan BN iaitu TV3 masih melaga-lagakan persengketaan kecil keluarga dalam parti berkenaan antara mursyidul am PAS Dato Nik Aziz dengan Nasharuddin Mat Isa disebabkan oleh kesediaan beliau membincngkan isu kerajaan perpaduan dengan UMNO.Kegagalan Timbalan Presiden PAS itu untuk berada di Manik Urai dijadikan salah satu berita dalam siaran berita.

Persoalannya, UMNO dan PAS bertembung dalam suasana aman sebagaimana dilaporkan dalam berita. Masing-masing parti akan melihat kemenangan yang diperolehi dijadikan isyarat oleh ahli parti masing-masing jika mereka menang. Namun bagaimana jika kalah? Dalam 'zero sum game' ini, saya masih melihat terdapat kesukaran di pihak pembangkang di Kelantan. Orang Kelantan memang terkenal dengan kebijakan mereka dalam memilih. Mungkin kali ini tugas UMNO hanya mengurangkan majoriti, tetapi bukan merebut kerusi. Sama-sama kita tunggu dan lihat.

Tuesday, June 23, 2009

KERAJAAN PERPADUAN JADI KERAJAAN PERPECAHAN

Umum sudah mengetahui bahawa tangan yang dihulur oleh PAS bagi memulakan perundingan kearah penubuhan sebuah kerajaan perpaduan tidak menjadi. Dalam perkataan lain PAS acah saja dan ternyata reaksi pemimpin utama UMNO amat positif dan nampak mereka serius untuk menyambut baik cadangan berkenaan. Ramai juga mengira untung rugi jika perkara ini menjadi kenyataan.

PAS berada dilandasan yang betul apabila menarik balik cadangan penubuhan kerajaan perpaduan. Ini adalah kerana PAS akan menjadi seketul daging yang enak untuk dimamah oleh UMNO, dan perjuangan PAS yang dilaung-laungkan selama ini akan menjadi sia-sia. Pada penghujungnya PAS akan rugi malah membawa kepada muflis.

Sebenarnya tidak ada gunanya PAS memperdulikan UMNO sebagai sebuah parti yang diibaratkan sebagai sebuah kapal yang bahagian hadapannya telah hampir tenggelam. Apa untung PAS untuk ikut karam bersama-sama. Sebenarnya PAS lebih selesa dan bertenaga dengan keadaan yang ada kini.

Tidak perlu ada penjelasan daripada PAS, tapi lihat kepada keadaan UMNO yang semakin ditolak rakyat. Lihat saja keputusan semua enam pilihanraya kecil selepas PRU 12. Kecuali BN sarawak dapat menampung satu kerusi, yang lain di Semenanjung UMNO BN kalah 5-0. Tepuk dada tanya selera.

Pemimpin UMNO kini sibuk mengajak rakyat menyokong UMNO, contohnya saranan ketua bahagian UMNO Kalabakan. Jika pemimpin meminta sokongan dan menyeru rakyat menyokong, natijahnya adalah UMNO sudah tidak ada penyokong, kecuali mereka yang ada kepentingan kedudukan dan pak turut.

Sudah terhantuk baru netngadah..itulah UMNO dan BN...






Tuesday, June 2, 2009

Bangunan Runtuh cerita kontraktor bumiputra

Mungkin secara kebetulan, selepas sebuah bangunan lama yang digunakan sebagai pusat membeli beah runtuh, stadium pula runtuh bumbungnya. Yang nyata kejadian pertama berbau kemalangan dan kesilapan teknikal. Tetapi stadium runtuh barangkali berlaku kecuaian dipihak kontraktor.

Dalam projek mega sedemikian, biasanya kontraktor pusat atau kontraktor utama adalah milik Melayu, namun projek biasanya telah disubkan kepada syarikat lain yang biasanya bukan syarikat milik bumiputra. Kontraktor utama hanya mengambil komisyen atau menjual terus projek kepada syarikat lain. dengan kata lain untung atas angin. Disebabkan mahu untung, material akan menjadi berkualiti rendah dan tidak mengikut piawai ditetapkan.

Dalam keadaan ini, banyak agensi kerajaan yang lepas tangan seperti JKR, IDB dan pihak berkuasa tempatan selain DOSH, NOISH dan lain-lain. Akhirnya kontraktor terlepas daripada hukuman.

Dalam banyak keadaan bagi projek kerajaan yang nernilai mega ini, kontraktor yang mendapat kontrak ini mesti ada hubungan dengan parti memerintah seperti UMNO, MIC atai MCA, kalau tidak pun mesti ada hubungan dengan BN. ( bebanan nasional )

Dalam keadaan ini, siapa yang rugi........dan jika berterusan begini bila negara akan menjadi maju........para pengundi perlu bertangan pandai....untuk mengundi dengan bijak.

rakyat perlukan Keadilan.....